Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 ahli akademik lahir keprihatinan mengenai usulan undang-undang kepalsuan POFMA

Hampir 100 ahli akademik sedunia menyuarakan keprihatinan terhadap usulan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi (POFMA), yang kini menunggu pembentangan kedua di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
100 ahli akademik lahir keprihatinan mengenai usulan undang-undang kepalsuan POFMA

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Frederic J Brown)

Diterbitkan : 15 Apr 2019 11:19PM Dikemas Kini : 15 Apr 2019 11:21PM

SINGAPURA: Hampir 100 ahli akademik sedunia menyuarakan keprihatinan terhadap usulan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi (POFMA), yang kini menunggu pembentangan kedua di Parlimen.

Dalam sepucuk surat bertarikh 11 April yang ditujukan kepada Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, ahli-ahli akademik berkata mereka akur bahawa Rang Undang-Undang itu tidak merangkumi "pendapat, kritikan, satira dan parodi" namun ia mungkin membawa "kesan buruk yang tidak disengajakan" terhadap penyelidikan di Singapura dan merata dunia.

"Apa yang menimbulkan keprihatinan kami sebagai para sarjana adalah ia menyekat dan mungkin menjadi satu kesalahan jenayah 'kenyataan fakta' yang 'palsu atau mengelirukan'," menurut surat itu.

Surat tersebut ditandatangani oleh 97 ahli akademik dan warga Singapura, termasuk Profesor Cherian George dari Universiti Hong Kong Baptist, Profesor Donald Low dari Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong dan Profesor Madya Teo You Yenn dari Universiti Teknologi Nanyang.

Kerja-kerja akademik, menurut mereka, banyak mempertikai "'fakta' yang sudah diterima" yang "sentiasa dinilai semula dengan kemunculan data dan analisis baru dengan peredaran masa".

"Lantaran itu bagi banyak fenomena, mustahil untuk menyatakan dengan pasti apakah 'fakta' yang dibuktikan sepanjang masa," menurut surat itu.

"POFMA berkemungkinan akan membuat ramai cendekiawan teragak-agak untuk melakukan atau menyelia penyelidikan yang mungkin tidak dipersetujui POFMA, atau merujuk rakan kerja atau penuntut ke jawatan fakulti di universiti-universiti terhormat Singapura."

Rang iti dibentangkan di Parlimen pada 1 April dan bertujuan menangani masalah penyebaran berita palsu secara online. Jika disahkan, akta itu boleh mendenda pesalahnya sehingga S$100,000 dan dipenjara sehingga 10 tahun bagi kes-kes sangat teruk.

Menurut Kementerian Undang-Undang Singapura, sebuah kepalsuan termasuk dalam "kepentingan awam" jika ia mendatangkan kesan terhadap kesihatan atau kewangan awam atau menjejas keselamatan atau ketenteraman awam.

Para anggota akademik juga menyuarakan keprihatinan terhadap "takrif meluas" kepentingan awam Singapura dan hukuman berat dalam rang tersebut.

"Peruntukan-peruntukan tersebut boleh membawa kesan yang tidak dijangkakan terhadap keupayaan Singapura untuk menjadi hab sejagat bagi penyelidikan akademik serta inovasi teknologi bertaraf terbaik," kata mereka.

MOE: RANG TIDAK JEJAS PENYELIDIKAN AKADEMIK

Kementerian Pendidikan (MOE) bagaimanapun tampil memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang itu tidak akan menjejas penyelidikan akademik.

"Rang Undang-Undang tersebut merangkumi kenyataan fakta palsu yang boleh dinilai dan menjejas kepentingan awam. Rang Undang-Undang tidak menyekat pendapat dan tidak akan menjejas kerja-kerja penyelidikan akademik," menurut MOE. "Ini ternyata benar tanpa mengira pandangan yang dibentangkan penyelidikan itu."

Kementerian itu menambah bahawa profesor undang-undang sudah memberi pandangan terhadap Rang Undang-Undang itu. Misalnya, dekan Sekolah Undang-Undang SMU, Goh Yihan, berkata bahawa Rang Undang-Undang itu mengimbangi pemberian kuasa kepada para menteri untuk secara pantas menangani sebarang berita palsu, dengan kemudiannya membolehkan keputusan itu dicabar di mahkamah.

Menjawab kenyataan MOE, para ahli akademik menyatakan ia akur akan jaminan kementerian itu bahawa undang-undang yang diusulkan tidak akan menjejas penyelidikan akademik.

"Namun kami tidak dapat menerimanya sebagai jaminan kukuh sehingga ia dirakamkan dalam penulisan Rang Undang-Undang itu," tambah mereka.

Dalam kenyataan itu mereka turut akur bahawa kebanyakan ahli akademik yang menandatangani surat tersebut tidak berpangkalan di Singapura.

"Beberapa ahli akademik yang berpangkalan di Singapura juga menyuarakan secara peribadi persetujuan mereka terhadap surat kami namun enggan menandatanganinya kerana takut ia akan menjejas peluang kerjaya mereka.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan