Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 ustazah mangsa tinjauan lucah dapatkan khidmat terapi

Lebih separuh daripada 17 asatizah yang menjadi mangsa tinjauan lucah baru-baru ini sedang atau sudah mendaftarkan diri untuk menjalani terapi, menurut seorang pakar terapi keluarga Akademi SYM Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Maimunah Mosli kepada BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Lebih separuh daripada 17 asatizah yang menjadi mangsa tinjauan lucah baru-baru ini sedang atau sudah mendaftarkan diri untuk menjalani terapi, menurut seorang pakar terapi keluarga Akademi SYM Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Maimunah Mosli kepada BERITAmediacorp.

Lebih tepat lagi, dalam tempoh kurang lima hari ini, dua asatizah sudah menjalani terapi sementara lapan yang lain telah mendaftarkan diri.

Sokongan seperti ini dapat dihulurkan kepada mangsa hasil kerjasama PPIS dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Liyana Musfirah Network.

Cik Maimunah sendiri merupakan salah seorang pakar terapi yang sedang menangani kes terkait dengan tinjauan lucah itu dan beliau berkongsi secara 'live' bersama BERITAmediacorp pada Ahad (30 Mei) antara kesan insiden berkenaan terhadap para mangsa.

"Ada yang dah mula tidak boleh tidur. (Ada juga) membayangkan 'gangbang' berlaku kepada diri mereka. Isu ini kompleks walaupun mereka tidak benar-benar melalui insiden itu," kata Cik Maimunah.

Pada Rabu (26 Mei), mula kecoh di media sosial tentang gambar 12 ustazah tempatan yang dimuat naik ke wadah Me We di mana pengguna 'M A' mengajukan soalan: "Ustazah mana patut kena 'gangbang'?" atau dirogol secara beramai-ramai.

Tinjauan tersebut dimuat naik sehari sebelumnya (25 Mei).

Turut terbongkar adalah satu lagi tinjauan lucah yang dimuat naik pengguna sama pada April. Lima ustazah disenaraikan dan soalan yang diajukan juga hampir sama, iaitu: "Gangbang Ustazah mana?"

PARA ASATIZAH DIJANGKA ALAMI TRAUMA KOMPLEKS

Dari sudut pandangan Cik Maimunah sebagai seorang pakar terapi, beliau berpendapat para mangsa kini sedang mengalami kondisi dipanggil 'Complex Trauma'.

"Apa yang kita dengar, mereka sudah mula tidak boleh menjalankan tugasan harian. Yang ada terpaksa hentikan kelas, ada yang terpaksa meletakkan tanggungjawab sebagai seorang ibu, dan juga sebagai seorang isteri (ke tepi) kerana banyak perkara bermain di fikiran mereka," terang Cik Maimunah.

Jenis trauma ini berbeza daripada trauma yang dialami mangsa yang secara langsung berdepan peristiwa malang seperti kemalangan, penganiayaan ataupun rogol.

Ia sejenis tindak balas emosi walaupun dalam kes ini, para mangsa tidak benar-benar dirogol dan sekadar disenaraikan online.

"Saya nak tekankan isu ini bukan sahaja tentang 'gangbang' tetapi ia juga melibatkan isu identiti mereka sebagai seorang asatizah. Keperibadian mereka dan sebagainya. Ini adalah isu harga diri mereka," tegas Cik Maimunah lagi.

YANG DIPERLUKAN MANGSA...

Mengulas lebih lanjut, Cik Maimunah berkata adalah "sangat penting" bagi masyarakat memberi ruang kepada para mangsa. Ada implikasinya sekiranya isu ini terus-menerus dibincangkan di media sosial, katanya.

"Apa yang saya nampak, ramai di antara kita, dalam perbincangan yang dilakukan, kita gunakan wadah media sosial. Perlu kita fikirkan kesan menggunakan media sosial untuk membincangkan perkara sedemikian. Kita harus ingat bahawa perkara ini bukan sahaja menjejas individu, tetapi emosi, psikologi dan juga jiwa mereka (mangsa)," kata Cik Maimunah.

Kesannya boleh berlarutan, tambahnya.

"Contoh, mangsa (kemudian) sebutkan sesuatu di media sosial. Apa yang mereka katakan itu, akan ada kesan di sisi undang-undang. Mereka belum jelas lagi... apa yang mereka cakap itu adakah dari segi emosi mereka ke, ataupun dari pandangan mereka, ataupun adakah ini satu fakta?"

"Jadi kita perlu sangat sangat mengambil berat tentang perkara ini. Beri ruang kepada mangsa, untuk mencari ketenangan supaya mereka dapat memikirkan apa yang mereka kata dan apa kesan yang mereka katakan terhadap diri mereka mahupun keluarga," ujar Cik Maimunah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan