Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 remaja disiasat langgar peraturan COVID-19; sambut hari jadi dalam bilik hotel dekat Newton

Sekumpulan 10 remaja yang dipercayai berkumpul pada lewat bulan lalu untuk menghadiri sambutan hari jadi di hotel Newton melanggar peraturan jarak selamat COVID-19. Seorang daripada mereka juga dikatakan mencederakan dua orang lain selepas perhimpunan itu

Anggaran Waktu Membaca:
10 remaja disiasat langgar peraturan COVID-19; sambut hari jadi dalam bilik hotel dekat Newton

(Gambar hiasan: Sergei Solo/Unsplash)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 04:09PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 04:11PM

SINGAPURA: Sekumpulan 10 remaja yang dipercayai berkumpul pada lewat bulan lalu untuk menghadiri sambutan hari jadi di hotel Newton melanggar peraturan jarak selamat COVID-19. Seorang daripada mereka juga dikatakan mencederakan dua orang lain selepas perhimpunan itu.

Polis menyatakan pada Rabu (10 Nov) pihaknya sedang menyiasat lima lelaki dan lima gadis, berusia antara 18 dengan 25 tahun, kerana didakwa melanggar peraturan jarak selamat.

Mereka dipercayai berkumpul untuk meraikan sambutan hari jadi di dalam sebuah bilik hotel di Newton Road pada 30 Oktober. Bagi membendung lonjakan kes COVID-19, orang ramai hanya boleh berhimpun dalam kumpulan dua orang bagi kegiatan sosial sepanjang tempoh ini.

Pada hari tersebut, polis menerima panggilan meminta bantuan di hotel berkenaan. Polis bagaimanapun enggan mendedahkan nama hotel itu apabila dihubungi Mediacorp kerana siasatan masih dijalankan.

Seorang lelaki berusia 25 tahun, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan remaja itu, diberkas kerana menyebabkan kecederaan dengan melakukan tindakan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. Dia dikatakan bertindak secara agresif terhadap dua orang lain dalam kumpulan tersebut dan mencederakan mereka selepas sambutan hari jadi itu.

Lelaki itu juga sedang disiasat kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) turut menyiasat hotel itu kerana didakwa melanggar kawalan jangkitan COVID-19.

Individu yang didapati bersalah melanggar peraturan jarak selamat COVID-19 boleh didenda sehingga S$10,000 atau dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan dengan tindakan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Kerana sengaja menyebabkan kecederaan, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan