Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 masjid akan rintis 3 zon bagi setiap sesi solat Jumaat bermula 13 Nov

Dua minggu dari sekarang, atau lebih tepat lagi bermula 13 November, 10 masjid di Singapura akan mula merintis tiga zon bagi setiap sesi solat Jumaat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua minggu dari sekarang, atau lebih tepat lagi bermula 13 November, 10 masjid di Singapura akan mula merintis tiga zon bagi setiap sesi solat Jumaat.

Ini bermakna, kesemua 10 masjid tersebut boleh menampung sehingga 150 jemaah bagi setiap sesi solat Jumaat, kerana setiap zon akan menempatkan 50 jemaah. Jadi secara keseluruhannya, sehingga 450 jemaah boleh menunaikan solat Jumaat menerusi tiga sesi di masjid-masjid berkenaan.

Perkembangan ini dikongsi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa majlis Maulidur Rasul di Masjid Yusof Ishak pagi tadi (1 Nov).

Sepuluh masjid yang akan merintis tiga zon itu adalah Masjid Al-Islah, Masjid Al-Istighfar, Masjid Darul Ghufran, Masjid An-Nur, Masjid Assyafaah, Masjid Yusof Ishak, Masjid Angullia, Masjid Sultan, Masjid Al-Khair dan Masjid Maarof. 

Encik Masagos semasa memasuki dewan solat Masjid Yusof Ishak bagi majlis Maulidur Rasul. 

“Namun dalam kita menjalani ibadah, kami juga berharap bahawa jemaah membiasakan diri membawa token TraceTogether atau memuat turun aplikasinya dalam telefon bijak masing-masing. Ini sesuai (dengan langkah) pada peringkat nasional, ia akan diwajibkan di tempat-tempat tertentu,” kata Encik Masagos.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), 10 masjid yang akan merintis usaha tersebut, juga akan menambah bilangan zon - dari tiga kepada lima zon - pada minggu-minggu mendatang selepas itu. Maka itu, jumlah jemaah yang boleh menunaikan solat Jumaat di 10 masjid terpilih boleh menampung sehingga 750 jemaah pada setiap solat Jumaat.

LEBIH BANYAK ACARA FIZIKAL DI MASJID KELAK

Dengan Singapura dijangka memasuki Fasa 3 menjelang akhir tahun ini, Encik Masagos menambah, orang ramai juga boleh menjangkakan lebih banyak acara fizikal di masjid.

Acara-acara fizikal sememangnya sudah mula dijalankan di masjid-masjid merata Singapura. Ini termasuk majlis-majlis Maulidur Rasul yang berlangsung sejak Rabu lalu. Jumlah tetamu bagaimanapun dihadkan. Ada masjid menerima tetamu yang terdahulu mendaftar, ada juga yang hanya membuka pintu kepada mereka yang diundang sahaja.

Bagi majlis di Masjid Yusof Ishak hari ini (1 Nov), semua tetamunya adalah mereka yang diundang – termasuk Encik Masagos, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dan kakitangan-kakitangan masjid dari merata Singapura. Hanya dua zon dibuka, satu buat kaum Adam dan satu lagi bagi kaum Hawa di aras lantai berbeza.

“Tapi jangan lupa, bahawa penularan masih berleluasa. Bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di luar negara. Oleh itu kita harus terus berjaga-jaga, jaga jarak selamat, bawa token TraceTogether bersama di mana sahaja kita berada supaya apabila berlaku jangkitan, kita tahu di mana ia berlaku, siapa yang mungkin dekat dengan pesakit tersebut, dan dapat mengekangnya dengan cepat,” nasihat Encik Masagos.

Langkah menetapkan zon yang dijalankan di semua masjid merata Singapura selaras dengan garis pandu yang ditetapkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) bagi tempat-tempat ibadat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan