10 didakwa langgar peraturan COVID-19 dengan berkumpul atas kapal layar
Sepuluh orang didakwa di mahkamah pada Jumaat (5 Feb) atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19 dengan berkumpul di atas sebuah kapal layar pada Boxing Day tahun lalu.
SINGAPURA: Sepuluh orang didakwa di mahkamah pada Jumaat (5 Feb) atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19 dengan berkumpul di atas sebuah kapal layar pada Boxing Day tahun lalu.
Ini berlaku selepas video yang menunjukkan seramai 10 orang berpesta di atas sebuah kapal layar berwarna putih berdekatan Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) tersebar dan mencetuskan kritikan warga siber.
Mereka yang tertuduh ialah: Warga-warga Britain Mark Alexander Bellamy, 29, Annabelle Morgan Duke, 26, Holmes Philip Edward Knatchbull, 27, Amy Alexandra Stewart, 32, Amy Georgina Hunt, 30, Amy Grace Ropner, 28, Oliver Francis William Campbell, 31, Thomas Cuthbert Williams-Jones, 30, Benjamin David Waters, 32 dan penduduk tetap Singapura Mark Lau San Mao, 30.
Mereka masing-masing dikenakan satu tuduhan menaiki kapal ADVANT antara pukul 11.00 pagi dengan pukul 4.00 petang bersama sembilan individu lain di luar rumah mereka bagi perhimpunan sosial tanpa sebab munasabah.
Mereka dituduh melanggar peraturan COVID-19 yang mengawal perhimpunan besar bagi mencegah penularan virus itu.
Kebanyakan mereka akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 26 Feb, manakala Ropner dan Lau dijangka mengaku bersalah bulan depan.
Di bawah Akta COVID-19 (Langkah Sementara), individu-individu yang didapati melakukan kesalahan boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka boleh dikenakan denda maksimum S$20,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.