Images
  • rokok (1)
    Rokok tanpa cukai dijumpa dalam ketuhar, rak-rak kayu. (Gambar: Kastam Singapura)

10 diberkas; rokok tanpa cukai dijumpa dalam ketuhar, rak-rak kayu

SINGAPURA: Seramai 10 orang diberkas dan lebih 2,600 karton rokok tanpa cukai dirampas dalam beberapa operasi di seluruh negara minggu lalu, menurut Kastam Singapura pada Jumaat (16 Okt).

Dalam dua operasi tersebut, pihak berkuasa menyerbu dua unit HDB di King George’s Avenue dan Serangoon North Avenue 4 yang digunakan untuk menyimpan dan menjual rokok-rokok yang tidak berbayar cukai.

Dua lelaki rakyat Singapura dan seorang warga China diberkas. Pihak berkuasa juga merampas 639 karton dan 20 paket rokok tanpa cukai.

Dalam tiga operasi lain yang dijalankan di Kang Ching Road di Jurong West, Eunos Industrial Park dan Realty Park di Hougang, para pegawai Kastam Singapura mematahkan percubaan untuk menerima penghantaran rokok-rokok tidak berbayar cukai.

Rokok-rokok itu disembunyikan di tempat-tempat seperti sebuah ketuhar, rak-rak kayu dan sebuah alat penapis udara. Dua lelaki warga China dan seorang wanita rakyat Singapura diberkas, dan 1,596 karton dan 5,942 paket rokok tanpa cukai dirampas.

Empat rakyat Singapura diberkas dalam dua serbuan lain di Yishun Ring Road dan Jurong West Street 93.

Tiga lelaki dan seorang wanita itu diberkas kerana menyimpan dan menghantar rokok-rokok tanpa cukai. Para pegawai Kastam Singapura juga merampas 369 karton dan 908 paket rokok.

Prosiding mahkamah terhadap empat lelaki dan salah seorang wanita itu sedang dijalankan. Siasatan masih dijalankan ke atas lagi empat lelaki dan seorang wanita.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,604 karton dan 6,870 rokok tidak berbayar cukai dan sebuah kenderaan dirampas semasa operasi itu, yang dijalankan dari 5 Okt hingga 9 Okt.

Jumlah duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielakkan masing-masing adalah sekitar S$293,700 dan S$23,590.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielakkan, dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan yang digunakan semasa melakukan kesalahan itu juga boleh dirampas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan atau mengelak duti Kastam atau GST boleh menghubungi Kastam Singapura di 1800-2330000 atau menggunakan aplikasi Customs@SG untuk membuat laporan.

- CNA/NA/na

Top