Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 diberkas; dadah bernilai S$800,000 dirampas dalam serbuan merata S'pura

Sepuluh orang yang disyaki pesalah dadah diberkas dalam satu siri serbuan yang dilancarkan di merata Singapura oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (30 Jul), termasuk seorang lelaki yang jatuh dari tingkap tingkat empat ketika cuba mengelak daripada ditangkap.

Anggaran Waktu Membaca:
10 diberkas; dadah bernilai S$800,000 dirampas dalam serbuan merata S'pura

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 09:34PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 09:38PM

SINGAPURA: Sepuluh orang yang disyaki pesalah dadah diberkas dalam satu siri serbuan yang dilancarkan di merata Singapura oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (30 Jul), termasuk seorang lelaki yang jatuh dari tingkap tingkat empat ketika cuba mengelak daripada ditangkap.

Para suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 62 tahun - semuanya rakyat Singapura - diberkas di beberapa lokasi termasuk Woodlands, Choa Chu Kang dan Teck Whye, menurut biro itu dalam kenyataan medianya pada Jumaat.

Dadah bernilai kira-kira S$800,000 turut dirampas melalui operasi tesebut.

Sebanyak 11.1kg heroin, kira-kira 101g Ice, 30 tablet Ecstasy dan serpihan sebiji pil Erimin-5 dirampas, serta wang tunai S$18,400.

Heroin yang ditemui pula cukup untuk menampung ketagihan sekitar 5,290 penyalah guna dadah selama seminggu, menurut CNB.

LELAKI JATUH DARI JENDELA KETIKA CUBA LARIKAN DIRI

Dalam salah satu operasi pada pagi Khamis, seorang lelaki berusia 50 tahun cedera setelah terjatuh dari tingkap tingkat empat ketika melarikan diri daripada pegawai CNB.

Para pegawai turut menyerbu sebuah unit kediaman di sekitar Choa Chu Kang Street 51 di mana lelaki berusia 50 tahun itu enggan membenarkan mereka masuk.

"Dia kemudian cuba mengelak daripada ditangkap dengan memanjat keluar dari tingkap dapur belakang unit yang terletak di tingkat empat," menurut CNB. "Semasa berbuat demikian, dia terjatuh lalu mengalami kecederaan."

Dia dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat untuk mendapatkan rawatan perubatan dan kini dalam keadaan stabil, tambah biro tersebut.

Semasa menggeledah unit itu, para pegawai merampas kira-kira 1g heroin, tiga bungkusan yang mengandungi kira-kira 5g Ice, 20 pil Ecstasy dan 1 pil Erimin-5.

Seorang wanita berusia 40 tahun yang berada di unit itu ditangkap kerana disyaki mengambil dadah.

Para pegawai juga menemui kunci kereta, yang membawa mereka ke sebuah kenderaan sewa di mana empat lagi bungkusan berisi kira-kira 1.9kg heroin dirampas.

PEGAWAI CEDERA KETIKA SUSPEK "CUBA BERGELUT"

Satu lagi operasi pada pagi Khamis yang dilancarkan oleh pasukan pegawai yang berlainan membawa kepada penangkapan seorang lelaki 59 tahun di sekitar Chin Swee Road.

Lelaki itu "meronta dengan ganas" ketika para pegawai cuba memberkasnya dan dia mencederakan seorang pegawai menggunkakan benda besi, menurut CNB.

"Para pegawai terpaksa bertegas untuk menahan dan mengawal suspek yang cuba diberkas."

Dua bungkusan yang mengandungi kira-kira 954g heroin ditemui pada lelaki tersebut. Ketika dia dibawa pulang ke kediamannya, para pegawai menemui 3g heroin, kira-kira 5.5g Ice, 10 pil Ecstasy dan serpihan pil-pil tersebut serta wang tunai S$10,000.

"Polis sedang menyiasat kesalahan mencederakan pegawai CNB dengan sengaja," tambah biro itu.

Para pegawai turut melakukan lebih banyak penangkapan pada lewat hari tersebut.

Siasatan polis ke atas kegiatan dadah suspek masih diteruskan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan