Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 bas elektrik dua tingkat dilancarkan di S'pura

Sebanyak 10 bas elektrik dua tingkat dilancarkan di Singapura pada Selasa (27 Okt) sebagai sebahagian daripada usaha Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menggantikan kesemua bas awam di Singapura kepada bas yang lebih mesra alam menjelang 2040.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 10 bas elektrik dua tingkat dilancarkan di Singapura pada Selasa (27 Okt) sebagai sebahagian daripada usaha Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menggantikan kesemua bas awam di Singapura kepada bas yang lebih mesra alam menjelang 2040.

Sekarang, sistem pengangkutan awam Singapura mempunyai 5,800 bas.

Dengan kesemuanya 60 bas elektrik dilancarkan menjelang tahun depan, pengeluaran gas karbon akan berkurangan sebanyak 7,840 tan setahun. 

Ini bersamaan dengan pengeluaran gas karbon oleh 1,700 kereta.

Selain mengurangkan pencemaran udara, bas-bas elektrik tersebut juga boleh mengurangkan kadar bising dalam sekitaran.

Dengan motor jenis elektrik, paras bunyi yang dikeluarkan bas-bas itu adalah lebih rendah berbanding bas diesel biasa, iaitu 3 desibel lebih rendah.

Oleh kerana saiz baterinya yang besar, bas-bas elektrik dua tingkat itu hanya boleh memuatkan sehingga 120 penumpang iaitu kira-kira 10 peratus lebih sedikit berbanding bas-bas sedia ada.

Namun LTA berharap dengan kemajuan teknologi, saiz bateri ini boleh dikecilkan ataupun tenaga alternatif lain boleh digunakan untuk model-model bas akan datang.

Sebanyak 10 bas dua tingkat itu akan digunakan bagi laluan khidmat bas nombor 83, 189 dan 983.

Semasa meninjau bas-bas baru ini di depot bas Bulim, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat berkata walaupun kos bas elektrik adalah lebih mahal, ia akan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan menghijau buat negara.

"Saya percaya dengan kemajuan teknologi, harga bateri, bas elektrik dan bas yang menggunakan tenaga lebih bersih akan berkurangan dan kita akan ada lebih banyak pilihan dan ini adalah cara kita ambil langkah awal ke arah masa depan yang lebih menghijau dan kita mahu mulakan sekarang," kata Encik Chee. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan