Images
  • workers file shot
    (Gambar fail: Reuters)

10,000 pekerja berjaya dapatkan semula gaji tertunggak berjumlah S$29 juta

SINGAPURA: Pihak berkuasa mendapatkan semula bayaran gaji pekerja yang tertunggak sekitar S$29 juta dari April 2017 hingga penghujung tahun lalu.

Jumlah tersebut tidak dibayar kepada lebih 10,000 pekerja daripada hampir 15,000 yang membuat tuntutan gaji dalam tempoh yang sama.

Demikian menurut satu laporan baru oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) hari ini (11 Okt).

Christophe Le Yoanc mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila beliau tidak menerima gajinya, pada Oktober tahun lalu.

Beliau yang bertugas sebagai pengarah akaun di sebuah syarikat kajian pasaran berkata berkata pihak syarikat berjanji kepada para pekerja bahawa gaji mereka akan dibayar.

Namun, para pekerja akhirnya hilang kesabaran selepas tidak menerima gaji selama dua bulan.

Encik Le Yoanc kemudian mendapatkan bantuan daripada Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian.

Ia menawarkan khidmat orang tengah dan nasihat bagi pertikaian mengenai isu pekerjaan dan pembayaran.

Selepas beberapa bulan, Encik Le Yoanc merupakan antara 90% yang mendapatkan semula gaji yang belum dibayar.

Lebih 14,700 tuntutan berkaitan gaji dibuat antara April 2017 hingga akhir 2018. Jumlah tersebut serupa seperti tahun lalu dengan majoriti melibatkan majikan asing. 60% daripadanya melibatkan sektor binaan.

Perikatan Pengurusan Pertikaian Tiga Pihak bagaimanapun prihatin, dalam keadaan ekonomi sekarang pertikaian mengenai gaji mungkin bertambah.

MOM menggunakan pendekatan serampang tiga mata bagi memperbaiki amalan-amalan di tempat kerja, pendidikan dan penguatkuasaan.

Ini termasuk penggunaan analisis data bagi pihak berkuasa mengenal pasti syarikat-syarikat yang berisiko tinggi tidak membayar gaji.

Mulai Januari tahun ini, pihak syarikat juga perlu mengisytiharkan jika pembayaran gaji dikemas kini. Ini bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan sebarang kes sebelum aduan dibuat.

- CNA/AA/ha

Top