Images
  • airport (3)
    (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

1 warga S'pura antara 5 kes import COVID-19 pada Sabtu

SINGAPURA: Singapura melaporkan lima kes COVID-19 baru pada Sabtu (21 Nov) dengan semuanya merupakan kes import, lapor Kementerian Kesihatan (MOH).

Empat daripada kes baru itu tidak menunjukkan gejala. Mereka dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di sini, menurut MOH. Tiada jangkitan tempatan yang dilaporkan buat hari ke-11 berturut-turut.

Di antara lima kes dilaporkan hari ini, salah seorang adalah warga Singapura yang kembali dari Mexico, sementara seorang lagi adalah penduduk tetap yang tiba dari Britain.

Dua daripada kes yang diimport adalah pemegang permit kerja yang kini bekerja di Singapura yang tiba dari Filipina. Kes terakhir adalah pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari Oman.

Mereka diuji semasa menjalani SHN.

LAGI 6 PESAKIT SEMBUH

Enam lagi kes COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 58,064 orang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan.

Seramai 22 pesakit COVID-19 masih berada di hospital. Sebilangan besar dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dan seorang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi, menurut MOH.

Seramai 34 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat, iaitu mereka yang menunjukkan simptom ringan, atau sihat dari segi klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

Angka korban di Singapura akibat komplikasi berkaitan COVID-19 kekal pada 28 orang.

Sehingga Sabtu, Singapura melaporkan sejumlah 58,148 kes COVID-19 kesemuanya.

ATURAN 'AIR TRAVEL BUBBLE' KE HONG KONG DITUNDA

Tarikh pelancaran Perjalanan Udara Aturan Khas (Air Travel Bubble) antara Singapura dengan Hong Kong kini ditangguhkan selama dua minggu, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Sabtu.

Ini setelah berlaku lonjakan kes COVID-19 di Hong Kong. Aturan perjalanan itu sepatutnya bermula pada Ahad.

Hong Kong melaporkan 43 kes baru COVID-19 pada Sabtu, dengan 36 daripadanya merupakan jangkitan tempatan. Sebanyak 13 kes adalah daripada sumber penularan yang tidak dikenal pasti.

Di bawah syarat-syarat aturan khas itu, perjalanan tersebut akan digantung jika purata jangkitan tanpa kaitan selama tujuh hari melebihi lima kes sehari di salah satu destinasi.

- CNA/TQ/tq

Top