Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 maut, 2 cedera dalam kebakaran besar di kawasan industri Jurong

Seorang meninggal dunia sementara dua mangsa cedera akibat kebakaran besar di kawasan perindustrian Jurong pada Jumaat (21 Jun), menurut Pasukan Pertahanan Awam (SCDF).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2019 12:30AM Dikemas Kini : 22 Jun 2019 12:39AM

SINGAPURA: Seorang meninggal dunia sementara dua mangsa cedera akibat kebakaran besar di kawasan perindustrian Jurong pada Jumaat (21 Jun), menurut Pasukan Pertahanan Awam (SCDF).

SCDF menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai insiden di 43 Jalan Buroh pada sekitar 5.10 petang. Kebakaran itu yang digambarkan oleh SCDF sebagai "marak dan hebat" berjaya dikawal pada sekitar 7.30 malam.

Kebakaran itu berlaku di sebuah loji gas petroleum cecair (LPG) sebesar dua padang bola sepak, menurut SCDF sambil menambah ia melibatkan "beratus-ratus" tangki LPG yang mudah terbakar - iaitu jumlah terbesar yang dihadapi SCDF dalam satu-satu kebakaran.

Kebakaran merebak dengan pantas sedang para pegawai SCDF bertungkus-lumus mengawalnya.

"Para anggota bomba merasakan bahang yang kuat di tengah-tengah tangki-tangki LPG yang meletup sedang mereka melawan kebakaran supaya tidak merebak ke tangki-tangki simpanan LPG berdekatan yang lebih besar," menurut SCDF dalam catatan Facebooknya.

SCDF menambah satu mayat dijumpai di tempat kejadian oleh seorang paramedik SCDF.

Dua pekerja mengalami kelecuran dan dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Sejumlah 35 kenderaan kecemasan dan kira-kira 120 anggota bomba dikerahkan.

"Pada kemuncak operasi memadam api, tujuh jet air, termasuk mesin pemadam api automatik, digunakan untuk mengawal kebakaran," menurut SCDF.

Apabila wartawan Mediacorp tiba di tempat kejadian pada sekitar 6.00 petang, dua lelaki yang mengalami kecederaan kelihatan sedang duduk di tepi jalan.

Seorang daripada mereka mempunyai balutan pada tangan dan lutut sementara lelaki kedua mempunyai balutan pada tangan, bahagian belakang tubuh dan kepalanya. Lelaki kedua itu kemudian dibantu untuk duduk di kerusi roda oleh kakitangan kecemasan.

Para pengguna aplikasi mudah alih SGSecure yang menggunakan khidmat rangkaian telefon M1, StarHub dan Singtel di sekitar kawasan kebakaran, dikirim pesanan supaya menghindari kawasan yang terjejas itu, menurut SCDF.

Asap hitam kelihatan dari Bukit Batok. (Gambar: Jonan Gan)

Asap hitam kelihatan dari Bukit Batok. (Gambar: Jonan Gan)

Video-video yang dikirimkan kepada Mediacorp menunjukkan api dan asap hitam tebal berkepul-kepul dari kawasan berkenaan. Para penduduk melaporkan mereka terdengar beberapa bunyi letupan.

Asap hitam kebakaran itu boleh dilihat dari kawasan-kawasan termasuk Teban Gardens, Clementi, Cantonment Road, dan malah, sejauh Bishan. 

Cik Carol Lee memberitahu Mediacorp, dalam perjalanan menjemput suaminya di bangunan berhadapan dengan tempat kebakaran, beliau boleh merasakan bahang sejauh 200 meter dari tempat kebakaran.

"Saya nampak kebakaran disusuli dengan bunyi letupan banyak kali sehingga saya tidak terkira. Ia amat menakutkan. Bau asap seperti kimia, bukan asap biasa," katanya.

Encik Muhammad Farihin pula berkata beliau melihat "bebola api" dari apartmennya di Yung Kuang Road. "Ada letupan juga," tambah beliau.

Cik Lillliane Reyes sedang menukar lampin bayinya apabila beliau mendengar apa yang difikirkannya sebagai "bunyi guruh kuat".

"Saya hanya menyangka ia bunyi guruh yang sangat kuat tetapi kemudian anaknya bertanya 'ohh, apa itu?' ... Selepas itu apabila saya berdiri saya nampak asap hitam berkepul-kepul."

Asap hitam berkepul-kepul kelihatan dari Clementi. (Gambar: Dennis Kwek)

Asap hitam berkepul-kepul kelihatan dari Clementi. (Gambar: Dennis Kwek)

Encik Micheal Toh sedang dalam perjalanan dari Pusat Pemeriksaan Tuas menuju ke bandar apabila beliau ternampak kebakaran itu.

"Ada asap hitam tebal berbentuk cendawan berkepul-kepul ke udara. Trafik mula bergerak lebih perlahan kerana perhatian teralih kepada asap di udara dan sebahagiannya kerana kesesakan waktu sibuk," katanya.

Punca kebakaran masih disiasat, menurut SCDF. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan