Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 kes tidak berkait di Rumah Jagaan Orange Valley antara 4 jangkitan COVID-19 dalam masyarakat

Satu lagi kes COVID-19 dalam masyarakat yang tidak berkait adalah peruncit di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah VIew.

Anggaran Waktu Membaca:
1 kes tidak berkait di Rumah Jagaan Orange Valley antara 4 jangkitan COVID-19 dalam masyarakat

Rumah Jagaan Orange Valley (Balestier) (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 12:00AM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 12:05AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan empat kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat tengah hari Khamis (10 Jun).

Dua berkait dengan kes sebelumnya - dengan salah satunya sudah dikuarantin sementara seorang lagi dikesan melalui proses pengawasan.

Baki dua kes dalam masyarakat tidak dikaitkan dengan kes sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

KES TIDAK BERKAIT

Satu kes dalam masyarakat yang tidak berkait melibatkan seorang lelaki 29 tahun yang bekerja sebagai penolong jururawat di Rumah Jagaan Orange Valley (Balestier).

Warga India itu tidak bergejala. Beliau sudah menerima kedua-dua suntikan vaksinnya, dengan dos kedua pada 14 Mei.

Jangkitannya dikesan ketika beliau menjalani ujian COVID-19 pada 8 Jun sebagai sebahagian daripada ujian pengawasan untuk kakitangan rumah jagaan itu.

Keputusan ujian beramai-ramai kembali positif pada 9 Jun dan ujian individu yang dilakukan pada hari yang sama juga positif. Hasil ujian serologinya positif.

Satu lagi kes tidak berkait dalam masyarakat melibatkan seorang lelaki berusia 74 tahun yang bekerja di sebuah kedai runcit di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View.

Warga Singapura itu mengalami batuk pada 8 Jun dan sakit tekak pada 9 Jun. Beliau mendapatkan rawatan perubatan di klinik doktor umum pada 9 Jun dan diberi ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

Beliau segera diasingkan apabila hasil ARTnya kembali positif pada hari yang sama. Hasil ujian PCR beliau juga positif pada hari itu. Keputusan ujian serologi beliau belum selesai.

Lelaki itu sudah menerima vaksin penuh, dengan dos kedua pada 6 April.

KES LAIN DALAM MASYARAKAT

Satu kes masyarakat yang melibatkan seorang banduan berusia 40 tahun di Kompleks Penjara Changi berkait dengan kelompok di penjara, menjadikan kelompok itu kini seramai 16 kes. Lelaki itu adalah kontak rapat Kes 63160, tukang masak yang bekerja di dapur penjara.

Kes baru itu dikuarantin pada 13 Mei. Dia mengalami batuk dan sakit tekak pada 7 Jun dan menjalani ujian COVID-19 pada 8 Jun. Hasil ujiannya positif pada keesokan hari.

Lelaki itu diuji secara berkala bagi COVID-19 semasa dikuarantin dan semua keputusan ujiannya negatif. Ujian terakhir dilakukan pada 4 Jun. Keputusan ujian serologi beliau masih dinantikan.

Lelaki itu telah diuji awal positif bagi varian Delta dan keputusan ujian pengesahan masih belum selesai, tambah MOH.

Satu lagi kes dalam masyarakat yang berkait melibatkan seorang pembuat roti berusia 40 tahun di kedai roti St Leaven di Takashimaya.

Warga Malaysia itu tidak mengalami sebarang gejala. Jangkitannya dikesan ketika beliau menjalani ujian COVID-19 yang diarahkan oleh majikannya pada 7 Jun.

Beliau dikuarantin pada hari yang sama apabila dikenal pasti sebagai anggota keluarga dan kontak serumah Kes 64112, seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu runcit di kedai roti Four Leaves di ION Orchard dan AMK Hub.

Hasil ujian lelaki itu positif COVID-19 pada 9 Jun. Hasil ujian serologinya negatif bagi antigen N, yang menandakan adanya jangkitan awal, jelas MOH.

Lelaki itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 31 Mei.

KES IMPORT

Terdapat juga sembilan kes import, yang sudah dikenakan notis jangan keluar rumah setiba mereka di Singapura.

Dua kes adalah warga Singapura dan lima adalah penduduk tetap yang pulang dari Angola, India, Filipina dan United Kingdom.

Satu kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Filipina. Kes terakhir adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 13 kes baru COVID-19 pada Khamis.

TEMPAT AWAM YANG DIKUNJUNGI KES COVID-19

Kedai roti St Leaven di Takashimaya serta Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, di mana dua kes baru dalam masyarakat bekerja, ditambah ke senarai lokasi yang dikunjungi oleh kes-kes dalam masyarakat semasa berjangkit.

Senarai lengkap lokasi baru MOH adalah seperti berikut:

(Sumber: MOH)

(Sumber: MOH)

KELOMPOK GRAB DIISYTIHAR TAMAT

Sekumpulan tiga kes COVID-19 yang dikaitkan dengan pemandu kereta sewa privet Grab diisytihar tamat pada Khamis setelah tiada jangkitan baru yang berkaitan dengannya selama 28 hari lalu.

Sementara itu, lagi 25 pesakit dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kes yang pulih sepenuhnya seramai 61,765.

Masih terdapat 150 kes di hospital, termasuk satu di unit jagaan rapi. Seramai 287 diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot dari 147 kes pada minggu sebelumnya kepada 40 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga merosot kepada tujuh kes pada minggu lalu daripada 26 kes pada minggu sebelumnya.

Antara 91 kes disahkan yang dilaporkan dari 4 Jun hingga 10 Jun, 46 kes diuji positif bagi ujian serologi mereka, 30 diuji negatif, dan 15 keputusan ujian serologi belum selesai.

KEMAS KINI UJIAN BLOK HDB

MOH turut memberikan kemas kini mengenai ujian wajib di beberapa blok HDB sehingga Khamis.

Di Punggol, seramai 452 penduduk dan pengunjung Blok 325A Sumang Walk sudah diuji. Semuanya didapati negatif COVID-19.

Di Hougang, seramai 4,347 pengunjung Blok 506 Hougang Avenue 8 serta penduduk dan pengunjung di tujuh blok berdekatan sudah tampil menjalani ujian. Daripada jumlah tersebut, 4,273 orang diuji negatif dan 74 lagi keputusan ujian belum selesai.

Sehingga Khamis, Singapura telah melaporkan 62,236 kes COVID-19 dan 34 kematian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan