Images
  • spf drug
    Ganja, heroin dan wang tunai yang dirampas di Evans Road semalam (8 Jan). (Gambar: CNB)

1.9kg ganja, 1.1kg heroin dirampas dalam operasi utama CNB bagi 2018

SINGAPURA: Sebanyak 1.9kg ganja dan 1.1kg heroin dirampas dalam operasi utama Biro Narkotik Pusat (CNB) tahun ini.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai lebih S$142,000, menurut CNB dalam kenyataannya hari ini (9 Jan).

Operasi itu dilancarkan pada awal pagi Isnin dekat Evans Road di Bukit Timah di mana para pegawai CNB mengesan suspek, seorang warga Malaysia berusia 34 tahun.

Tidak lama kemudian, dua lagi orang disyaki pengedar dadah tempatan - lelaki 46 tahun dan wanita 30 tahun tiba dengan menaiki van.

Ketiga-tiga suspek dilihat berjalan ke arah sebuah estet perumahan.

Lelaki warga Malaysia itu meninggalkan tempat itu tidak lama kemudian dengan menaiki motosikal.

Para pegawai CNB terus bertindak dan menahan pasangan tempatan dekat Evans Road.

Mereka menemui sekitar 1,933g ganja dalam lokar wanita itu di Evans Road selain 665g heroin dan 40g "Ice".

Sekitar 26g lagi ganja ditemui dalam van yang dipandu lelaki berusia 46 tahun itu.

Dia disyaki mendapatkan bekalan dadah tersbut dari sebuah sindiket dadah berpangkalan di Malaysia.

Para pegawai CNB juga memberkas lelaki warga Malaysia yang terbabit di Woodlands Ave 3 dan menemui wang tunai berjumlah $4,500 pada dirinya.

Dua lagi lelaki warga Singapura berusia 56 dan 62 tahun ditangkap dalam siasatan susulan di sebuah unit di Jalan Bahagia.

Sebanyak 461g heroin ditemui dalam unit tersebut dan lebih $16,400 wang tunai dirampas daripada kedua-dua lelaki tersebut.

Siasatan terhadap semua suspek sedang dijalankan.

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah sesiapa yang sabit kesalahan mengedar lebih 500g ganja boleh dikenakan hukuman mati.

Akta itu juga memperuntukkan hukuman mati jika jumlah dadah diamorphine atau heroin tulen yang diedar melebihi 15g. 

- CNA/SU/aq

Top