Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,000 orang dipindahkan dalam kebakaran di Hotel Carlton

Sekitar 1,000 orang dipindahkan dalam insiden "letupan kecil" dan kebakaran yang berlaku dalam bilik suis Hotel Carlton petang tadi (14 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2019 05:58PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 01:24AM

SINGAPURA: Sekitar 1,000 orang dipindahkan dalam insiden "letupan kecil" dan kebakaran yang berlaku dalam bilik suis Hotel Carlton petang tadi (14 Feb).

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagaimanapun mengesahkan tiada yang dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih disiasat.

Seorang jurucakap hotel memberitahu TODAY: "Pada 1.15 petang, kebakaran dan letupan kecil dilaporkan berlaku di bilik suis. Bilik itu terletak di bahagian belakang bangunan hotel. Beberapa orang terdengar bunyi letupan di Queen Road."

"Seperti yang ditetapkan dalam protokol keselamatan kami, kami memindahkan semua tetamu dan kakitangan. Sekitar 1,000 orang keseluruhannya dipindahkan ke satu kawasan berdekatan Bras Basah Complex. Kami juga mengatur perancangan lain bagi para tetamu, seperti menghantar mereka ke Taman di Pesisiran."

Para tetamu hotel dibolehkan kembali ke lobi hotel pada jam 2.30 petang dan kemudian dibenarkan kembali ke bilik masing-masing pada jam 3.15 petang. Hanya satu lif yang beroperasi ketika itu, kata seorang lagi jurucakap Hotel Carlton.

(Gambar: Nicholas Khong/TODAY)

Beberapa pengguna Facebook menyatakan bahawa mereka terdengar bunyi letupan. Ada juga yang memuat naik gambar-gambar yang menunjukkan kenderaan-kenderaan SCDF di luar hotel. Sesetengah pengguna pula mengadu tentang gangguan bekalan elektrik.

Seorang pengguna Facebook, Ricardo Sentosa, memuat naik satu video yang dirakam berdekatan Odeon Towers, di mana beliau sedang bertugas ketika kejadian berlaku. Encik Sentosa juga menyatakan bahawa "dua letupan" berlaku di Hotel Carlton.

Dalam video tersebut, Encik Sentosa kedengaran berkata: "Anda boleh lihat pemegang pintu terbuka akibat letupan. Asap juga kelihatan dari bilik itu."

SCDF menyatakan bahawa ia memberikan respons kepada "insiden kebakaran" di 76 Bras Basah Road pada sekitar 1.15 petang.

"Kebakaran yang berlaku dalam bilik suis, dipadamkan menggunakan pemadam api," menurut SCDF lagi.

Bekalan elektrik di beberapa stesen MRT dan kawasan pusat bandar Singapura juga terganggu pada petang tadi. Tidak diketahui jika insiden itu berkaitan dengan kebakaran yang berlaku.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan