Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zon bebas merokok ala Orchard Road mungkin dilaksanakan di Nee Soon South

Nee Soon South yang meliputi hampir 150 blok flat dan kondominium bakal mempunyai 50 sudut khas merokok menjelang hujung tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berikutan pengumuman menjadikan Orchard Road sebuah zon bebas merokok, AP GRC Nee Soon Dr Lee Bee Wah memberitahu BERITAMediacorp bahawa langkah serupa mungkin juga dilaksanakan di kawasan Nee Soon South, sekiranya itu yang dimahukan oleh para penduduknya.

Nee Soon South merupakan bandar pertama di Singapura yang menyediakan sudut-sudut khas merokok.

Namun selepas tiga tahun, sudahkah usaha itu membawa hasil yang diinginkan?

ADAKAH IA KEPERLUAN ATAU SEBALIKNYA?

Gambar fail salah satu tempat merokok khas di Zon D, kawasan Nee Soon South. (TODAY/Don Wong)

Gambar fail salah satu tempat merokok khas di Zon D, kawasan Nee Soon South. (TODAY/Don Wong)

Beginilah keadaan di sudut khas merokok atau DSP yang terletak berhampiran blok 777 di Yishun Avenue 2.

Sepi tanpa pengunjung - sekadar disinggahi beberapa ekor burung merpati berhampiran.

Jelang waktu makan tengah hari, pihak kami beralih pula ke sebuah lagi sudut yang dikatakan mengumpul sekitar 200 batang rokok setiap hari.

Namun dalam masa lebih setengah jam, hanya tiga perokok dilihat menggunakan sudut tersebut.

Ini mungkin satu petanda baik - bahawa tabiat merokok di kawasan ini sudah dapat dibendung.

Namun timbul juga satu persoalan lain. Adakah kemudahan seperti ini satu keperluan atau sebaliknya?

Menerusi tinjauan rambang kami, beberapa penduduk merasakan sudut-sudut merokok ini satu 'pembaziran' kerana ia semakin jarang digunakan.

Namun dalam masa yang sama, mereka juga rata-rata akui kewujudannya sedikit sebanyak membawa perubahan positif terhadap sikap para perokok di sini.

"Ya banyak perbezaan juga sebab saya tengok dah tak banyak orang juga hisap rokok di sebelah koridor. Mereka nampak pemerintah dah sediakan, mereka hisap dekat sana juga," kata seorang penduduk M. Bachik.

Seorang lagi penduduk Zahara Kassim: "Kalau pada fikiran Cik, memang sesuai pemerintah buat tempat sebegini. Jadi kata orang itu, mengelakkan dari kata orang itu, buang rokok sebarangan."

DSP CERMINKAN TEKAD LINDUNGI PENDUDUK

Bagi AP kawasan Nee Soon South, inisiatif DSP ini mencerminkan tekadnya untuk melindungi para penduduk daripada kesan asap rokok.

"Bagi setiap 100 orang yang mati berkaitan dengan merokok, terdapat 12 orang yang tidak merokok, ini termasuk kanak-kanak. Puncanya kerana terhidu asap rokok dari sekeliling mereka.

"Malah, asap ini boleh mencetuskan serangan jantung. Saya amat terperanjat dengan statistik ini dan saya bertekad untuk melindungi penduduk saya dari menghidu asap rokok sebaik mungkin," kata Dr Lee.

Namun tambah beliau, menyediakan sudut-sudut ini sahaja tidak mencukupi.

"Kita memerlukan lebih banyak usaha pendidikan bagi menggalak orang ramai untuk berhenti merokok. Kita akan membuat keputusan untuk berhenti merokok itu lebih mudah.

"Oleh itu kami juga mempunyai para jururawat yang berpengalaman dalam hal itu di blok 839, sebuah pusat kesedaran bagi sesi konsultasi untuk para perokok yang ingin berhenti merokok," tambah beliau.

Ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mengikut jejak Orchard Road yang bakal menjadi zon bebas merokok tahun depan, Dr Lee sekadar menjawab beliau akan menyokong langkah tersebut, sekiranya itu yang dimahukan oleh para penduduknya.

Nee Soon South yang meliputi hampir 150 blok flat dan kondominium bakal mempunyai 50 sudut khas merokok menjelang hujung tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/NT/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan