Images
  • zainal sapari
    AP GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari berucap di Parlimen pada 15 Mei. 

Zainal Sapari: Pemimpin 4G perlu ambil pendekatan baru perbaiki kehidupan pekerja gaji rendah

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Zainal Sapari menggesa pemimpin generasi Singapura selanjutnya untuk menangani isu ketidaksamarataan secara agresif, selain menyeru kepada mereka untuk meningkatkan gaji para pekerja berpendapatan rendah.

"Pada masa akan datang, saya ingin melihat, di bawah kepimpinan 4G yang baru, seorang pekerja berpendapatan rendah berasa yakin untuk menimba kemahiran baru dan mendapat gaji lebih baik, mencukupi untuk menyara keluarga dan aspirasi mereka untuk mempunyai kehidupan lebih baik," kata beliau di Parlimen hari ini (15 Mei).

Encik Zainal menyampaikan ucapan semasa sesi perbahasan Ucapan Presiden Halimah Yacob minggu lalu, di mana beliau mencabar para pemimpin untuk "menangani ketidaksamarataan dengan penuh semangat. Ini, kata Encik Zainal, merupakan salah satu "cabaran utama" mereka.

Untuk itu, AP GRC Pasir Ris-Punggol itu menggesa para pemimpin untuk berfikir dan mengambil tindakan secara berbeza, bagi memperbaiki kehidupan para pekerja berpendapatan rendah.

"Meski gaji sebenar meningkat bagi 20 peratus pekerja dengan gaji paling rendah atas usaha-usaha tiga pihak... kami tidak boleh jangkakan hasil lebih baik jika kami asyik melakukan perkara yang sama," kata beliau.

"Pada masa depan, pemimpin 4G perlu terus berfikir dengan cara berbeza supaya mampu membantu para pekerja bergaji rendah menjana pendapatan lebih tinggi."

Encik Zainal selanjutnya menggesa para pemimpin 4G untuk membimbing pihak-pihak berkepentingan dalam industri untuk memikirkan cara-cara tentang bagaimana mereka boleh mewujudkan kemajuan inklusif dalam setiap 23 Perancangan Perubahan Industri (ITM) di bawah kepimpinan mereka.

Setiap jawatankuasa ITM juga perlu menyesuaikan ITM bagi mengkaji bagaimana mereka boleh membantu para pekerja yang lemah untuk menyara kehidupan mereka, tambah Encik Zainal. Ini termasuk mengenal pasti kemahiran-kemahiran yang mampu dipelajari mereka yang sudah berumur atau tidak berpendidikan.

APA YANG BOLEH SYARIKAT LAKUKAN?

Berhubung syarikat-syarikat pula, Encik Zainal mengatakan bahawa mereka perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan bersikap adil terhadap para pekerja, terutama sekali bagi golongan bukan PMET, dengan lebih baik.

Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan dasar-dasar baru yang memberi tumpuan kepada usaha menggalak dan memberi insentif kepada syarikat-syarikat supaya mempunyai budaya pekerjaan yang baik, kata beliau.

"Kami selalu berbangga dengan tenaga kerja yang paling produktif dan berkemahiran tinggi di dunia, namun hasil tinjauan tentang aspek-aspek seperti kebahagian dan keseimbangan kehidupan pekerjaan dan keluarga memberi kami gambaran yang berbeza tentang tenaga kerja di negara ini," tambah beliau.

"Bagi saya, ini satu tanda bahawa perlu ada pembaharuan."

Encik Zainal turut menukil syarikat-syarikat seperti Gap, Starbucks dan Walmart sebagai contoh, di mana mereka menyaksikan keuntungan lebih tinggi selepas melayani para pekerja mereka dengan lebih baik. Ini, kata beliau, boleh dilakukan dalam bentuk pakej gaji, faedah pekerja dan sekitaran kerja lebih baik dan positif.  

- CNA/AQ/aq

Top