Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita Kanada ini jadi 'pembela' kubur muslim tertua S'pura; lancarkan app 'Cemetery.sg'

Seorang wanita warga Kanada bernama Sonia Lang ini langsung tiada ikatan kaum atau sejarah dengan Singapura. Beliau 'orang putih' dan bukan orang Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Seorang wanita warga Kanada bernama Sonia Lang ini langsung tiada ikatan kaum atau sejarah dengan Singapura. Beliau 'orang putih' dan bukan orang Melayu.

Namun, lantaran minat dan rasa sayangnya terhadap nilai sejarah tapak pusara tertua bagi orang-orang Melayu/Islam Singapura itu di Jalan Kubor, Cik Lang bakal melancarkan sebuah aplikasi tentang tanah perkuburan tersebut.

App itu yang dipanggil 'Cemetery.sg' akan beliau lancarkan tahun depan sempena perayaan '200 Tahun Singapura', demi meningkatkan kesedaran tentang tapak yang dianggapnya "sangat penting" dalam sejarah Singapura.

(Cik Lang ketika ditemui membersihkan kawasan perkuburan di Jalan Kubor)

3 KALI SEMINGGU BERSIHKAN KUBUR

Cik Sonia Lang, seorang suri rumah. Beliau mula memeluk Islam di Kanada enam tahun lalu, sebelum datang ke Singapura tahun lalu kerana mengikut suaminya. Suaminya merupakan orang Jerman yang ditugaskan ke Singapura.

Kini, tiga kali seminggu, Cik Lang menziarahi tanah perkuburan Muslim tertua di sini bersama tiga lagi rakannya.

Secara sukarela, mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan seperti mengutip sampah sarap, memotong tumbuh-tumbuhan yang lebat di sekeliling dapur-dapur kubur dan kemudiannya mengitarnya semula.

(Pusara Ambo Sooloh, seorang tokoh masyarakat dan pengasas Utusan Melayu)

TAPAK PENTING "SEJARAH DUNIA, SEJARAH SINGAPURA"

Tanah perkuburan berusia sekitar 200 tahun, menempatkan hampir 4,800 pusara orang Islam terdahulu termasuk tokoh-tokoh bersejarah dan perintis Singapura seperti Ambo Sooloh, serta menjadi tanah persemadian diraja keturunan Tengku Hussein.

Menyedari peri pentingnya tapak, Cik Lang yang tinggal di kawasan berdekatan dan merupakan seorang peminat sejarah, mengambil inisiatif menubuhkan sebuah kumpulan sukarelawan bagi meningkatkan kesedaran tentang usaha memulihara.

Minat beliau juga berputik, untuk mahu mengetahui tentang penduduk asal atau pribumi Singapura.

"Tapak ini sangat tua, maksud saya ia mencerminkan penduduk pribumi Singapura, dan turut dikebumikan di sini ialah kerabat diraja, keturunan Sultan Hussien Shah, yang merupakan ketua yang memberikan tanahnya kepada Sir Stamford Raffles.

"Jadi ini merupakan sebuah tapak yang penting dari sejarah dunia, sejarah Singapura," tekan Cik Lang.

FUNGSI APP JALAN KUBOR YANG DICIPTANYA

Malah minatnya yang mendalam terhadap sejarah dan warisan masyarakat Singapura terdahulu tidak terhenti dengan kerja pembersihan sahaja.

Cik Lang kini dalam proses membangunkan sebuah app yang mempunyai ciri lawatan berpandu tentang sejarah perkuburan Jalan Kubor dan tokoh-tokoh masyarakat terdahulu, bagi memudahkan mereka yang ingin meneroka Jalan Kubor.

"Buat masa ini saya sedang membangunkan sebuah app bagi telefon bimbit, IOS dan Android dan buat masa ini ia sedang dalam peringkat prototaip dengan menggunakan GPS di telefon ia akan mengetahui di mana anda berada dan ia akan menunjukkan sejarah orang yang dikebumikan di situ dan apa kisah penuhnya," kongsinya bersama pihak BERITAMediacorp.

Cik Lang bercadang untuk melancarkan aplikasi tersebut sepenuhnya pada tahun 2019, sejajar dengan sambutan memperingati 200 tahun Singapura diasaskan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan