Images
  • stabbing
    (Gambar: Jeremy Long)

Wanita cedera parah akibat insiden tikaman di Queenstown

SINGAPURA: Seorang wanita mengalami beberapa kecederaan pada leher dan bahagian kanan tubuhnya akibat serangan tikaman yang berlaku di Queenstown pada malam Khamis (11 Okt).

Suspek, seorang lelaki berusia 29 tahun, sudahpun diberkas. Demikian menurut polis dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (12 Okt). Kes berkenaan dianggap dilakukan dengan sengaja, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan pada sekitar 10.50 malam pada Khamis (10 Okt) bahawa seorang wanita ditikam oleh seorang lelaki di Blok 146 Mei Ling Street.

Wanita itu dilaporkan mengalami luka di bahagian belakang lehernya serta beberapa kecederaan di bahagian kanan tubuhnya - iaitu di telinga, bahu, siku dan bahagian bawah ketiaknya.

Wanita itu dihantar ke Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Beliau dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Para pegawai dari Divisyen Polis Clementi berjaya mengenal pasti identiti suspek itu melalui siasatan dan bantuan rakaman CCTV. Para pegawai polis memberkas suspek pada sekitar 9.00 pagi tadi (12 Okt).

Lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah pada Sabtu (13 Okt) kerana sengaja menyebabakn kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Dia juga boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun, didenda dan dirotan.  

- CNA/AI/ai

Top