Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha MESRA masyarakat dipertingkat, Wisma Geylang Serai hab menyatukan masyarakat

Panel Penasihat Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) mahu meningkatkan lagi usaha mendekati masyarakat dalam tiga bidang utama.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Panel Penasihat Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) mahu meningkatkan lagi usaha mendekati masyarakat dalam tiga bidang utama.

Ini adalah meluaskan program-program pendekatan menjangkaui budaya dan bahasa seperti isu kesihatan dan perundangan, memperdalamkan lagi pemahaman dan integrasi antara kaum serta meluaskan program mendampingi dan menggilap bakat belia.

Demikian dikongsi Penasihat MESRA Masagos Zulkifli tentang semakan program dan strategi MESRA di Wisma Geylang Serai, hari ini (17 Apr).

PROGRAM PERLU JANGKAUI KEBUDAYAAN, BAHASA

"Selama ini, kami telah menjalankan program-program yang merupakan kebudayaan dan bahasa. Tapi perlu kita melebarkan lagi jangkauan tersebut dengan mengadakan program-program seperti program-program perundangan, program-program kesihatan," jelas Encik Masagos.

Menurutnya, meskipun program mendekatkan masyarakat Melayu kepada warisan kesenian dan budaya kaum Melayu mendapat sambutan menggalakkan, sebaliknya pula bagi program-program lain yang dianjurkannya.

Lantaran itu, panel penasihat yang dipimpin Encik Masagos akan melakarkan strategi bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada masyarakat.

Sebagai contoh, program-program kesihatan akan mendapat kerjasama dengan lebih ramai karyawan jagaan kesihatan dan institusi dekat kepada masyarakat seperti masjid-masjid untuk menganjurkan bengkel-bengkel yang lebih relevan dan boleh menarik minat masyarakat umum.

Ppara karyawan danusahawan pula akan menjayakan program-program teknologi digital lebih khusus bagi masyarakat Melayu/Islam.

PROGRAM PENDIDIKAN, BELIA AKAN DIPERLUASKAN

Encik Masagos menambah bahawa program-program pendidikan seperti Kem Perkasa Warisan dan Geran Projek Lentor akan diperluaskan setelah mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

Kem Perkasa Warisan yang buat masa ini dikhaskan bagi para pelajar darjah empat akan diperluaskan kepada satu lagi peringkat dan ditawarkan juga di sekolah menengah.

Ia juga akan diterajui para graduan muda supaya memberi ruang untuk mereka menonjolkan kebolehan mereka.

Bagi Geran Projek Lentor, ia akan menambahkan jumlah geran kepada $5,000 setahun bagi setiap projek berbanding $2,000 sekarang.

Langkah-langkah ini, menurut Encik Masagos, adalah satu permulaan dalam memastikan ramai anggota masyarakat dapat terlibat dalam program diusahakan di peringkat akar umbi dan menggilap bakat kepimpinan di kalangan masyarakat.

"Tujuan akhirnya adalah bagaimana kita memastikan integrasi masyarakat Melayu dengan masyarakat lebih besar terus berlaku. Setelah itu, kita juga harus memikirkan bagaimana untuk menarik dari golongan mereka juga, mereka yang mempunyai potensi sebagai ahli akar umbi dan juga sebagai pemimpin masyarakat yang boleh menjadi pelapis kepada pemimpin yang ada sekarang," kata Encik Masagos.

WISMA GEYLANG SERAI MAMPU SOKONG USAHA MESRA

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga antara panel penasihat MESRA, menekankan bagaimana Wisma Geylang Serai (WGS) dapat menyokong usaha MESRA ini.

Dr Maliki berkata ruang di WGS boleh dimanfaatkan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan kumpulan akar umbi bagi menjalankan program mereka.

Lebih daripada itu, beliau berharap WGS dapat menjadi hab yang menarik masyarakat Melayu dan bukan Melayu untuk bersatu, mengenali budaya dan warisan Melayu.

Beliau turut berkongsi beberapa kegiatan yang akan dijalankan di WGS dalam masa enam bulan akan datang bagi menyokong usaha itu seperti Kempen Hijau & Bersih dan pelancaran Bulan Bahasa.

Selain Dr Maliki, anggota panel yang turut hadir hari ini juga ialah Anggota Parlimen Zaqy Mohamad, Rahayu Mahzam dan Setiausaha Parlimen Amrin Amin.

Mereka termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Dr Faishal Ibrahim membentuk Panel Penasihat MESRA yang dipimpin Encik Masagos demi terus memperkukuh MESRA serta fungsi-fungsinya supaya dapat mendampingi dan berkhidmat kepada masyarakat Melayu dengan lebih meluas lagi.

MESRA adalah sebuah badan di bawah naungan Persatuan Rakyat yang menyelaras hampir 100 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di kelab-kelab masyarakat (CC) merata negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan