Images
  • SINGAPORE JOHOR
    (Gambar: AFP)

Urutan pertikaian ruang udara S'pura, M'sia: Apa yang diketahui

SINGAPURA: Pengurusan ruang udara di selatan Johor menjadi tumpuan pada Selasa (4 Dis) selepas Singapura dan Malaysia saling bertukar-tukar pandangan yang bercanggah mengenai isu tersebut.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata di parlimen bahawa negara itu mahu menuntut balik "ruang udara yang diwakilkan" kepada Singapura di selatan Johor, sekaligus mendorong Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengeluarkan kenyataan bagi kedudukan yang ada sekarang dikekalkan.

APAKAH ISU SEBENAR?

Di bawah aturan yang ada sekarang, pengurusan ruang udara di selatan Johor diwakilkan kepada Singapura. Ini bermakna Singapura menyediakan khidmat kawalan trafik udara di ruang tersebut.

Peruntukan itu dipersetujui pada 1973 oleh Malaysia, Singapura dan negara-negara serantau yang lain, sebelum ia diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Satu perjanjian dua hala kemudian dimeterai antara Malaysia dengan Singapura pada 1974.

Bagaimanapun, Malaysia kini menyatakan bahawa ia mahu menuntut balik "ruang udara yang diwakilkan" itu dengan Encik Loke merujuk kepada keprihatinan mengenai kedaulatan dan kepentingan negara.

APAKAH KEPRIHATINAN MALAYSIA?

Malaysia membangkitkan keprihatinan mengenai Lapangan Terbang Seletar, terutamanya mengenai prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi lapangan terbang itu.

Prosedur-prosedur ILS merujuk kepada kemudahan alat bantu penerbangan di lapangan terbang berkenaan, ketika juruterbang pesawat melakukan pendaratan dan menghampiri landasan kapal terbang.

Semasa membantah penerbitan ILS oleh Singapura, Malaysia merujuk kepada kesan laluan penerbangan Lapangan Terbang Seletar terhadap pembangunan dan operasi perkapalan di Pasir Gudang.

RESPONS SINGAPURA

Singapura bagaimanapun menyatakan bahawa ILS itu semata-mata menggariskan laluan-laluan penerbangan sedia ada, menjadikan peraturan-peraturan keselamatan lebih jelas dan telus.

MOT juga menyatakan bahawa prosedur-prosedur itu tidak memberi kesan tambahan terhadap para pengguna ruang udara yang lain, serta perniagaan-perniagaan mahupun para penduduk Johor.

Singapura turut mempertikaikan dakwaan Malaysia bahawa ILS diterbitkan tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia. MOT mengeluarkan dokumen-dokumen pada Selasa (4 Dis) yang menunjukkan rundingan sebenarnya diadakan antara Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dengan Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

GARIS MASA PERBINCANGAN

5 Disember 2017: CAAS membentangkan pelan pelaksanaan bagi prosedur-prosedur ILS di Seletar semasa satu pertemuan antara Singapura dengan Malaysia di Kuala Lumpur, menurut petikan catatan minit mesyuarat.

Semasa mesyuarat itu, CAAS juga menyatakan bahawa sebuah bangunan terminal penumpang baru akan dibangunkan di Lapangan Terbang Seletar bagi persiapan untuk anak syarikat Malaysian Airlines, Firefly, beroperasi dari Singapura ke Subang dan sebaliknya.

6 Disember 2017: CAAS menghantar maklumat mengenai prosedur-prosedur ILS menerusi kiriman emel, termasuk draf carta tuju instrumen dan peta keseluruhan, kepada CAAM untuk dinilai sebelum ia menerbitkan prosedur-prosedur tersebut.

6 Jun 2018: CAAS menghantar kiriman emel kepada CAAM bagi menyatakan ia mahu menerbitkan prosedur-prosedur ILS, dengan prosedur-prosedur tersebut dikuatkuasakan pada 16 Ogos 2018.

7 Ogos 2018: CAAS menyatakan pihak pengurusannya mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan CAAM, serta memberikan lebih banyak perincian mengenai prosedur-prosedur ILS. CAAS juga meminta "maklum balas operasi dengan segera," menurutnya.

15 Ogos 2018: CAAS menyatakan ia menghantar kiriman emel menyusuli mesyuarat yang diadakan pada 7 Ogos bagi menekankan bahawa "perkara itu memerlukan tindakan segera" sambil meminta agar CAAM memberikan respons sebelum 27 Ogos. Bagaimanapun, CAAS menyatakan ia tidak menerima sebarang respons.

28 dan 29 November 2018: Kedua-dua pihak berkuasa mengadakan pertemuan di Singapura di mana CAAM membangkitkan keprihatinan teknikal berhubung prosedur-prosedur ILS, menurut CAAS. CAAS menambah bahawa ia sudahpun menangani keprihatinan itu dan "menyampaikan hasratnya" untuk menerbitkan prosedur-prosedur tersebut pada 1 Disember.

30 November 2018: Kedua-dua pihak mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur bagi membincangkan mesyuarat yang diadakan sehari sebelumnya. CAAM tidak menimbulkan sebarang keprihatinan baru, menurut CAAS.

4 Disember 2018: Encik Loke bercakap di parlimen bahawa Kementerian Ehwal Luar Malaysia akan menghantar satu kenyataan kepada Singapura bagi membantah apa yang disifatkan oleh beliau sebagai 'pelanggaran' prinsip sambil merujuk kepada penerbitan prosedur ILS oleh Singapura.

Bercakap kepada para wartawan kemudian, Encik Loke juga berkata beliau sudah mengadakan pertemudan dengan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan baru-baru ini. Menurut Encik Loke, beliau sudahpun memberi Encik Khaw 'petanda awal' bahawa Malaysia ingin mengadakan rundingan untuk mengambil semula ruang udara di selatan Johor.

MOT kemudian mengeluarkan satu kenyataan bagi membalas kenyataan Malaysia, dengan menekankan bahawa aturan sedia ada selama ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan sebarang perubahan akan menjejas banyak pihak berkepentingan.

Berhubung penerbitan prosedur ILS pula, ia tidak menerima "respons diperlukan" daripada CAAM "meskipun sudah diberi peringatan berkali-kali", sehingga lewat November tahun ini.  

- CNA/AI/ai

Top