Images
  • pmd
    (Gambar: LTA/ Facebook). 

Ujian kamera CCTV dijalankan bagi tangani masalah guna PMD, basikal secara sebarangan

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menjalankan ujian menggunakan kamera CCTV untuk menangani masalah penggunaan alat pergerakan peribadi dan basikal secara sebarangan di laluan pejalan kaki.

Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min mendedahkan demikian apabila menjawab pertanyaan para anggota parlimen hari ini.

Langkah itu diambil sedang bilangan kemalangan antara pejalan kaki dan alat sedemikian semakin meningkat di laluan tersebut.

Sebanyak 19 kemalangan dilaporkan melibatkan alat pergerakan peribadi di laluan awam pada 2015, 42 kemalangan pada 2016, sementara 128 kemalangan dicatatkan tahun lalu.

Oleh itu, LTA sedang menjalankan ujian di Ang Mo Kio, Yishun dan Ubi dengan menggunakan kamera untuk mengenal pasti penunggang yang tidak bertanggungjawab di laluan pejalan kaki.

Sekiranya berkesan dalam mengurangkan kesalahan, LTA mungkin melanjutkan ujian tersebut ke kawasan lain. Pada masa yang sama, para pegawai LTA meningkatkan rondaan di tempat-tempat yang mempunyai ramai pejalan kaki dan penunggang.

Dr Lam juga menjelaskan pelbagai kempen pendidikan awam mengenai tabiat menunggang dengan selamat dilancarkan. Beliau meminta rakyat Singapura supaya memberikan masa untuk menilai keberkesanannya.

Panel Penasihat Mobiliti Aktif, tambahnya, sedang mengkaji semula langkah tambahan yang mungkin diperlukan.  

- CNA/NU/im

Top