Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian dron untuk kesan kerosakan blok HDB

Sebahagian penduduk yang tinggal di salah sebuah daripada empat blok di Jurong East mungkin pernah ternampak sebuah dron diterbangkan di kawasan perumahan mereka baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian dron untuk kesan kerosakan blok HDB

Sebuah dron digunakan untuk memetik gambar-gambar untuk mengesan kerosakan pada bangunan HDB.

Diterbitkan : 10 Aug 2018 10:17AM Dikemas Kini : 10 Aug 2018 10:26AM

SINGAPURA: Sebahagian penduduk yang tinggal di salah sebuah daripada empat blok di Jurong East mungkin pernah ternampak sebuah dron diterbangkan di kawasan perumahan mereka baru-baru ini.

Ini kerana Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memulakan satu ujian selama seminggu pada lewat Julai untuk menentukan sama ada dron-dron berupaya melengkapi kerja-kerja pemeriksaan bangunan, terutamanya di tempat-tempat yang sukar untuk dilalui atau berbahaya.

Seorang jurucakap HDB memberitahu Mediacorp bahawa agensi itu dan majlis-majlis bandaran menjalankan pemeriksaan secara tetap ke atas permukaan perumahan awam. Ini bagi memastikan bangunan-bangunan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik. Ini, menurut beliau, biasanya dijalankan oleh para pekerja menggunakan sistem gondola.

Tujuan ujian dron perintis di empat blok HDB itu adalah untuk "menjalankan pemeriksaan yang lebih menyeluruh, terutama sekali di kawasan-kawasan yang tidak dapat dilalui oleh para pekerja menggunakan sistem gondola tersebut," kata seorang pegawai menerusi satu kiriman emel.

Pemeriksaan dron itu dijalankan selama dua jam pada waktu pagi dan sebelah petang antara 26 Julai dengan 2 Ogos, menurut HDB.

Apabila Mediacorp mengunjungi salah sebuah daripada empat blok tersebut ketika proses pemeriksaan dijalankan pada awal bulan ini, jelas keselamatan menjadi keutamaan para pengendali dron.

Dron itu dikendalikan oleh Sistem-Sistem Tanpa Pemandu HUS yang diberi izin oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) untuk berbuat demikian, menurut HDB dalam satu surat pekeliling yang diberikan kepada para penduduk keempat-empat blok berkenaan.

Dalam ujian itu, dron akan mengambil beribu-ribu gambar dan ini akan dimuatnaik ke sistem kecerdasan buatan (AI). Sistem itu kemudian akan mengenal pasti sebarang kerosakan melalui laporan yang dikeluarkan secara automatik selepas setiap pemeriksaan dalam masa yang singkat.

Meskipun sistem tersebut berupaya mengesan kerosakan pada permukaan bangunan seperti keretakan atau lapisan cat yang terkopek, ia belum lagi dapat mengesan karat atau hakisan, menurut laporan itu.

MELINDUNGI PRIVASI PENDUDUK

HDB juga memaklumkan para penduduk bahawa dron-dron akan memetik gambar daripada pelbagai bahagian permukaan bangunan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan yang dijalankan. Jika sesebuah dron memetik sebarang gambar penduduk semasa pemeriksaan berkenaan, gambar-gambar tersebut akan "diproses dengan sofwe bagi mengaburi butir-butirnya."

Jurucakap HDB menerangkan bahawa agensi itu mempunyai "perjanjian kontrak yang ketat" dengan HUS, yang mana dron-dron tersebut hanya digunakan untuk memetik gambar bangunan-bangunan flat. HDB dan majlis bandaran juga hanya akan menggunakan gambar-gambar yang sudah diproses dengan imej penduduk dikaburkan.

"Juga di bawah perjanjian kontrak dengan HDB, HUS tidak dibenarkan untuk menerbitkan, mengongsi, mencetak atau menggunakan gambar-gambar yang dipetik tanpa kebenaran HDB bagi sebarang tujuan selain ujian tersebut," tambah jurucakap itu. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan