Images
  • Seligi (4)
    Mohamed Ramli Awi, Guru Utama Perguruan Silat Seligi Tunggal Angkatan Singapura. (Gambar-gambar: Rafili Ramli)

Tokoh & Mahaguru silat S'pura Ramli Awi meninggal dunia akibat barah

BERITAmediacorp: Dunia persilatan Singapura kehilangan seorang tokoh silat veteran yang amat disegani.

Mohamed Ramli Awi, Guru Utama Perguruan Silat Seligi Tunggal Angkatan Singapura, yang juga pernah bertugas sebagai jurulatih silat nasional, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 63 tahun malam semalam (4 Dis), akibat sakit barah usus.

Khabar sedih itu dimaklumkan sendiri oleh anak beliau, Mohamed Noor Rafili Ramli, yang juga pernah menjadi atlit silat negara.

Sebagai seorang guru silat, Allahyarham Ramli Awi pernah mendidik sehingga 1,000 anak murid sepanjang pelibatannya dalam bidang itu, menurut Encik Rafili. Malah lebih penting lagi, di bawah asuhannya juga anak-anak muridnya ada yang menjadi juara kebangsaan, juara serantau dan juga juara dunia.

Anak kedua Allahyarham, Mohamed Zulfakar, 37 tahun juga merupakan seorang pesilat negara dan anak bongsunya, Norlia Syqin, 30 tahun turut bergiat dalam dunia persilatan.

TETAP GAGAH HINGGA SAAT-SAAT TERAKHIR

Encik Rafili memberitahu BERITAmediacorp bahawa bapanya meninggal dunia akibat barah usus. Allahyarham sebenarnya baru didiagnosis menghidap barah usus Tahap 4 pada pertengahan bulan Oktober lalu.


Allahyarham bersama keluarga. Isteri (depan, kiri), Rafili (berdiri, paling kiri), anak bongsu Noorlia Syqin (berdiri, tengah) dan anak kedua, Mohamed Zulfakar (berdiri, paling kanan)

Sungguhpun demikian, sepanjang kira-kira sebulan setengah yang lalu, Encik Rafili mendedahkan bahawa bapanya tidak pernah merungut tentang penyakitnya.

Malah, sikap positifnya begitu menyerlah sekali.

"Disebabkan dia seorang yang begitu positif, beliau selalu berkata kesihatannya akan bertambah baik. Dia tak nak risaukan anak-anak murid dia. Jadi dia akan beritahu mereka 'Jangan risau, Abang Ramli akan sembuh'," cerita Encik Rafili, 38 tahun, yang merupakan anak sulung Allahyarham.


Kentalnya jiwa seorang pendekar ternyata sudah mendarah daging dalam diri Allahyarham. Meskipun kesihatannya dilihat kurang baik pagi semalam, Allahyarham tetap cuba untuk bertahan sebelum akhirnya bersetuju ke hospital bersama anaknya. Encik Rafili berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.15 malam.

Dedikasi dan cinta Allahyarham terhadap dunia persilatan amat mendalam dan memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Menurut Encik Rafili, silat merupakan "seluruh hidup" Allahyarham.

"Itu memang matlamat dia. Sebagai guru silat dia nak menyelamatkan anak-anak bangsa," ujar beliau.

Yang pasti, perjuangan Allahyarham selama bertahun-tahun demi anak-anak bangsanya mengenali seni silat tidak sia-sia.

"Dia puaslah perjuangan dia dalam dunia silat," tambah Encik Rafili.

PENGGIAT SILAT RATAPI "KEHILANGAN BESAR"

Menyusuli pemberitahuan mengenai pemergian ayahnya itu yang dimuat naik Encik Rafili ke laman Facebooknya malam semalam, ucapan takziah datang mencurah-curah daripada saudara-mara, kenalan dan anak-anak murid Allahyarham.

Rata-rata mereka melahirkan rasa hiba dan berkongsi kenangan mereka bersama Allahyarham.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Guru Besar Perguruan Silat Cimande, Abdul Jalil Rais atau lebih dikenali sebagai Paman Islandar Muda atau Pendekar Temasek, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai "satu kehilangan besar".

"Khususnya di Singapura kita kehilangan satu ikon. Satu ikon silat yang dapat memberi semangat kepada orang-orang yang dekat dengan dia, orang nak belajar silat. Dia pun orangnya banyak dikenal orang, mesra. Jadi saya rasa pemergian dia satu kehilangan besar," kata Encik Abdul Jalil. Beliau sudah mengenali Allahyarham sejak tahun 1976.


Beliau berkongsi bahawa Allahyarham adalah antara segelintir tokoh silat yang meraih gelaran mahaguru mengikut prosedur tradisional.

"Orang macam ini tak ramai di Singapura. Kebanyakan 'instant'. Kebanyakannya mendadak jadi guru besar. Yang ikut sistem traditional memang salah satunya saya tahu Almarhum Pak Ramli Awi," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Encik Abdul Jalil berkata sifat Allahyarham yang "gila silat" mengangkat dirinya sebagai guru seni Singapura.

"Ramai orang lama kenal. Guru seni Singapura, mesti Ramli Awi. Sebab dia punya permainan cepat, tendangan dia cepat. Pukulan dia cepat. Saya tengok dia antara insan silat yang benar-benar menitikberatkan seninya dan dia tidak melihat pada gaya bela diri asing. Dia tahu silat adalah silat. Dia betul-betul ikut tradisi," Encik Abdul Jalil memberitahu BERITAmediacorp.

Salah seorang anak murid Allahyarham, merupakan Qari dan guru Al-Quran tempatan, Ustaz Nor Muhammad Ali. Beliau menyifatkan gurunya itu sebagai seorang yang "tidak pernah lupakan muridnya".

"Sumbangan beliau di dalam dunia silat amat besar. Seorang yang disegani ramai. Menerapkan adab dan nilai akhlak yang tinggi di dalam persilatan," menurut Ustaz Nor Muhammad di laman Facebooknya.

BERITAmediacorp sudahpun menghubungi Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) untuk mendapatkan komen badan itu berhubung pemergian bekas jurulatih nasional berkenaan. Namun setakat ini ia masih belum lagi memberikan sebarang jawapan sehingga artikel ini diterbitkan.


SUMBANGAN ALLAHYARHAM "LUAR BIASA"

Menurut Encik Rafili lagi, Allahyarham bapanya sudah melibatkan diri dalam seni silat sejak usia tujuh atau lapan tahun. Allahyarham juga giat menyertai pertandingan-pertandingan silat sejak tahun 1970-an.

Allahyarham sudah mula menurunkan ilmu persilatan kepada anak-anak murid dari awal tahun 1980-an. Ini bemakna, jumlah anak-anak muridnya sudah menjangkau 1,000 orang, menurut keluarganya.

Dari tahun 1996 sehingga 2007, Allahyarham pernah memikul tanggungjawab sebagai jurulatih silat nasional di bawah PERSISI.


"Sumbangan dia luar biasa. Dia punya jasa dalam silat banyak. Pencapaian besar yang dikecapinya adalah pada tahun 1997, di mana Singapura merupakan pemenang keseluruhan. Itu nikmat yang amat kemuncak bagi diri dia.

"Dia lahirkan juara dunia, juara Sukan SEA. Banyak yang telah lahir," kongsi Encik Rafili.

Pada tahun 1999, Allahyarham Ramli menubuhkan Perguruan Silat Seligi Tunggal Angkatan Singapura. Anggota aktif pada ketika ini adalah sekitar 150 orang.

Perguruan tersebut adalah antara perguruan silat terbesar di Singapura dan banyak memenangi pingat emas dalam perlawanan-perlawanan silat.

Gugurnya sebutir permata dunia persilatan itu ditangisi ramai penggiat silat. Sekitar 300 orang mengiringi jenazah Allahyarham yang disolatkan di Masjid Al-Iman pagi tadi sebelum dikebumikan.

Yang pasti, ketokohan dan kewibawaan Allahyarham Ramli terkenal dalam dunia persilatan Singapura dan serantau. Jasanya akan terus dikenang, khususnya sedang Singapura menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18, seminggu lagi. 

- BERITAmediacorp/nk

Top