Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TMJ tuntut 'hak' air Johor, harap 'tiada campur tangan kerajaan persekutuan'

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa air di Johor adalah milik kerajaan negeri dan beliau lebih memilih jika kerajaan persekutuan tidak campur tangan, kerana ia berkaitan perjanjian dengan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
TMJ tuntut 'hak' air Johor, harap 'tiada campur tangan kerajaan persekutuan'

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: Hani Amin)

Diterbitkan : 19 Jul 2018 10:33PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 11:27PM

JOHOR BAHRU: Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa air di Johor adalah milik kerajaan negeri dan beliau lebih memilih jika kerajaan persekutuan tidak campur tangan, kerana ia berkaitan perjanjian dengan Singapura.

Dalam wawancara eksklusifnya dengan Mediacorp hari ini (19 Jul), beliau menekankan bahawa air adalah isu di mana kerajaan mempunyai hak dan kerajaan negeri Johor perlu mencapai perjanjian yang "saling menguntungkan" dengan Singapura.

"Air di Johor milik Johor... Jika menyentuh tentang agama, tanah, air, ia semuanya milik negeri. Oleh sebab itu, saya fikir kerajaan negeri Johor yang patut putuskan. Saya lebih suka jika kerajaan persekutuan tidak campur tangan apabila ia melibatkan isu air antara Johor dengan Singapura," kata Tunku Ismail.

Pada bulan lalu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad ada mengatakan bahawa kerajaan Malaysia perlu berbincang tentang air yang dijual pada harga "tidak munasabah" kepada Singapura.

Ketika diminta mengulas tentang isu harga, Tunku Ismail berkata kerajaan negeri Johor "perlu mengkajinya".

Namun, beliau menegaskan, "tidak kira keputusan yang diambil, ia patut saling menguntungkan Johor dan Singapura".

"Kami sememangnya berjiran. Kami ingin membuat keputusan yang akan saling menguntungkan. Kami tidak inginkan hubungan kerjasama yang hanya terjalin selama 10 tahun, tetapi kami inginkan hubungan berkekalan selama 50 tahun, 100 tahun akan datang," kata Tunku Ismail.

Ketika ditanya tentang penilaiannya terhadap hubungan dua hala di bawah kerajaan Pakatan Harapan pula, beliau berkata: "(Malaysia) tidak harus menumpukan perhatian kepada isu-isu yang remeh - itu pandangan saya, misalnya cuba mempertikaikan isu-isu yang tidak penting atau mengeluarkan kenyataan yang akan mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara - antara Singapura dengan Malaysia."

Beliau menambah, rakyat Johor mempunyai pemahaman lebih mendalam tentang hubungan dua hala kerana jarak yang dekat.

"Rakyat Johor memahami sentimen hubungan antara Johor dengan Singapura lebih baik daripada mana-mana rakyat Malaysia yang lain kerana kami berjiran dan kami mempunyai hubungan yang bermakna selama 200 tahun."

Beliau menegaskan lagi bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan perlu mengutamakan usaha "membawa kemajuan kepada negara" dan bukan "cuba memecahbelahkan kerajaan mahupun sebarang individu".

PENGANGKUTAN FERI DAN KOSWE KETIGA BAGI TANGANI MASALAH KESESAKAN

Tunku Ismail juga menyarankan beberapa huraian untuk mengurangkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Link Kedua Tuas - laluan seberang tambak yang dilalui beratus ribu orang setiap hari.

Beliau berkata, pengangkutan laut, atau dengan menaiki feri, adalah "sangat, sangat penting" kerana ia sangat mudah diakses negeri.

"Secara perbadi, saya berasa jika kami mempunyai koswe ketiga, ia akan dapat mengurangkan kesesakan antara Johor dengan Singapura kerana kami mempunyai beratus-ratus ribu orang yang masuk negeri ini setiap hari," tambahnya.

Tunku Ismail sendiri perlu mengharungi kesesakan yang memanjang ketika berada di bangku sekolah. Beliau menutut di Sekolah Antarabangsa Australia di Singapura pada waktu itu.

"Saya sangat memahami bagaimana rasanya terkandas dalam kesesakan lalu lintas, ia memakan masa agak lama," ujar Tunku Ismail.

Beliau turut menyuarakan sokongannya bagi Projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) yang akan menghubungkan Stesen Utara Woodlands Singapura dengan Bukit Changar Johor.

"Ia akan membawa banyak manfaat. Anda boleh lihat ramai rakyat Singapura dan rakyat Malaysia menggunakan koswe dan ada banyak kesesakan di sana sini," katanya.

"Apa sahaja yang akan memudahkan rakyat atau kedua-dua pihak untuk meraih keuntungan, ya, ia perkara yang baik dan perlu diteruskan." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan