Images
  • masagos
    Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli semasa bercakap kepada wartawan pada 7 Disember.

Tindakan sehala M'sia perluas batas pelabuhan 'tidak sesuai dengan semangat mahu bekerjasama', tegas Masagos

SINGAPURA: "Tindakan sehala Malaysia yang secara mendadak" meluaskan had pelabuhan Johor Bahru tidak sesuai dengan "semangat mahu bekerjasama" antara kedua-dua negara. Singapura akan mengatasi isu itu dengan tenang tetapi tegas.

Demikian tekan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli hari ini (7 Dis), sebagai mengulas isu had baru pelabuhan Johor yang diwartakan Malaysia pada 25 Oktober.

Dalam komen pertamanya mengenai isu dual hala itu, beliau berkata tindakan itu juga menghantar isyarat yang "memendungkan" suasana.

"Kawasan tersebut selama ini ditadbir oleh Singapura, dan tidak pernah dituntut oleh pihak Malaysia. Malah, mereka tidak pernah membantah pentadbiran kami di kawasan tersebut.

"Tiba-tiba, ia menjadi tuntutan dengan pewartaan sehala dan kapal Malaysia kini berlabuh di kawasan tersebut secara haram. Ini merupakan satu tindakan yang mengancam kedaulatan Singapura," kata beliau, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Encik Masagos menambah bahawa pendirian Singapura adalah jelas. Beliau menekankan:

"Kami menghormati undang-undang antarabangsa dan perjanjian dua hala. Jika pelanggaran undang-undang dan perjanjian menggugat kedaulatan Singapura, kami akan mempertahankan kedaulatan Singapura dengan tegas."

Encik Masagos juga berkata bahawa pasukan pimpinan baru di kedua-dua negara mahukan hubungan yang positif dan membina.

Banyak manfaat yang akan diraih kedua-dua negara kata beliau, berbekalkan semangat bekerjasama yang tulus dan konsisten.

"Pimpinan barisan baru mahu hubungan positif dan membina. Ini jelas dari cara kita mendekati isu HSR (Kereta Api Laju S'pura-KL) baru-baru ini. Begitu juga rakyat kedua-dua negara, mahu kita memandang ke depan dan meninggalkan takuk lama.

Banyak yang akan bermanfaat kepada kedua-dua negara jika kita bersemangat bekerjasama dengan tulus dan konsisten," ujar Encik Masagos.  

- CNA/SU/ai

Top