Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tikam isteri hingga mati, Mohamad Jonit dihukum penjara 10 tahun

Mengesyaki isterinya keluar dengan lelaki lain, Mohamad Jonit Adnan, 39 tahun, menikam isterinya sekurang-kurangnya 30 kali di flatnya di Yishun.

Anggaran Waktu Membaca:
Tikam isteri hingga mati, Mohamad Jonit dihukum penjara 10 tahun
Diterbitkan : 12 Jul 2018 10:54PM Dikemas Kini : 13 Jul 2018 07:16AM

SINGAPURA: Mengesyaki isterinya keluar dengan lelaki lain, Mohamad Jonit Adnan, 39 tahun, menikam isterinya sekurang-kurangnya 30 kali di flatnya di Yishun.

Anggota paramedik cuba menyelamatkan Cik Sri Idayu Ghazali 29 tahun, yang terlantar di katil berlumuran darah. Namun beliau meninggal dunia di hospital keesokan hari, pada 14 Ogos 2016.

Pada Khamis (12 Jul) Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap Jonit atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Jonit dan isterinya mempunyai dua orang anak perempuan berusia 10 dan 11 tahun.

Jonit sedang menganggur semasa insiden tersebut dan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita lain dan mempunyai anak bersamanya.

Cik Idayu membuat tuntutan cerai pada Mac 2016. Pada Julai, sebulan sebelum jenayah berlaku, beliau memfailkan perintah perlindungan daripada suaminya, yang kemudian berpindah daripada flat mereka.

Pada hari kejadian Jonit mengunjungi flat untuk membawa anak-anaknya bermain di taman permainan berdekatan.

Jonit kemudian mendapat tahu isterinya pulang lewat pada malam sebelumnya dan mengesyaki beliau keluar dengan lelaki lain.

Akibat marah, Jonit kemudian menikam isterinya sekembalinya ke flat. Kakak kepada Cik Idayu menelefon polis.

SEKURANG-KURANGNYA 30 TIKAMAN DI BADAN

Bedah siasat mengesahkan punca kematian Cik Idayu disebabkan pendarahan berlebihan akibat ditikam di leher, bahu, dada dan perut. Sekurang-kurangnya 30 bekas tikaman ditemui di badan mangsa. Lapan daripadanya sudah mencukupi untuk menyebabkan kematian.

Peguam yang mewakili Jonit, Cik Sadhana Rai memohon hukuman lima hingga tujuh tahun, dengan menyatakan bahawa dia bertindak secara spontan. Beliau juga berkata Jonit mengalami kemurungan dan pernah menyatakan keiinginannya untuk membunuh diri melalui nota-nota yang ditulis.

Namun pihak pendakwa berhujah bahawa Jonit boleh berfikir secara waras sebelum, sewaktu dan selepas melakukan jenayah kerana dia menyembunyikan pisau di sakunya dan kemudian membuangnya.

Hakim Chua Lee Ming bersetuju dengan pihak pendakwa dan menjatuhkan hukuman 10 tahun ke atas Jonit atas dakwaan membunuh tanpa niat. Bagi kesalahan sedemikian, dia boleh dihukum penjara seumur hidup dan dirotan.  

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan