Images
  • anwar ibrahim new
    Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim, semasa berucap di Sidang Puncak Singapura 2018. (Gambar: Amir Yusof)

Tidak munasabah wujudkan masalah antara S'pura, M'sia - Anwar Ibrahim

SINGAPURA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim menekankan bahawa "tiada masalah" antara Singapura dengan Malaysia, dan beliau juga berikrar bahawa setelah menjadi Perdana Menteri nanti, Singapura bakal menjadi antara negara pertama yang akan dilawatinya.

Encik Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai hubungan antara Singapura dengan Malaysia yang diajukan oleh mantan Menteri Negara Kanan Singapura Zainul Abidin Rasheed, semasa forum di Sidang Puncak Singapura hari ini (15 Sep).

“Apakah ada sebarang masalah? Saya tidak melihat adanya masalah. Ia hanya soal persepsi dan juga stail,” kata Encik Anwar.

“Orang Singapura terlalu serius dan seperti peniaga. Kami (orang Malaysia) sedikit santai… sedikit lebih kurang. Orang Singapura (mengira) wang ringgitnya,” tambah beliau. Namun, Encik Anwar berkata Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan yang erat dan kukuh dari segi ekonomi dan sejarah.

Beliau juga akur bahawa Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad "keras terhadap sesetengah perjanjian sebelum ini" dalam urusannya dengan Singapura. Bagaimanapun, Encik Anwar berkata bahawa isu itu seharusnya "terbatas pada masalah-masalah tertentu" dan dihuraikan.

Beberapa ketegangan antara Singapura dengan Malaysia timbul semula setelah Dr Mahathir menjadi perdana menteri negara itu pada bulan Mei, di mana beliau membangkitkan isu sensitif dua hala - iaitu perjanjian air antara Singapura dengan Malaysia - serta menyarankan untuk membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura yang dipersetujui di bawah pentadbiran Najib Razak sebelum ini.

"Ia bukan semuanya tentang wang," tegas Encik Anwar. "Kita harus menimbangkan keprihatinan, kepekaan dan pentingnya memandang ke depan serta menjalinkan hubungan yang erat dan kukuh antara kedua-dua negara."

Beliau menambah bahawa generasi para pemimpin sekarang mesti melakukan usaha tambahan bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

"Generasi pemimpin muda tidak mempunyai pendedahan, pengalaman dan hubungan yang sama seperti generasi pemimpin pertama atau kedua," kata Encik Anwar.

"Anda harus memahami ini dan oleh itu, anda perlu melakukan lebih banyak usaha."

Encik Anwar turut memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir serta Encik Anwar sendiri dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 19 Mei, iaitu hanya 10 hari selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 Malaysia.

"Beliau amat amat mesra dan merupakan satu isyarat baik untuk beliau menjadi antara yang pertama melawat kami selepas pilihan raya itu. Isyarat-isyarat begini penting kerana ia menjangkau melebihi pertemuan diplomatik dan perjanjian-perjanjian perniagaan," kata Encik Anwar.

ANWAR AKAN LAKUKAN LAWATAN KE S'PURA DAHULU SETELAH MENJADI PM

Encik Anwar, yang berada di Singapura buat pertama kali sejak dibebaskan dari penjara pada bulan Mei, menambah bahawa beliau akan melakukan lawatan ke Singapura dahulu setelah menjadi perdana menteri.

Encik Anwar bagaimanapun menekankan bahawa beliau mesti memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Port Dickson lebih terdahulu.

Pada Rabu (12 Sep), Encik Anwar diumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil selepas penyandangnya dari PKR, Danyal Balagola Abdullah, mengumumkan akan melepaskan kerusinya bagi membuka laluan untuk Encik Anwar kembali ke parlimen Malaysia.

Menjawab soalan mengenai pilihan raya kecil yang bakal diadakan pula, Encik Anwar berkata: "Saya tidak mengambil mudah. Saya sudah menceburi bidang politik sejak bertahun-tahun lalu.

"Saya akan turun padang untuk merayu kepada para pengundi. Dan (demografik penduduk) juga sangat bercampur-campur... ada 50 peratus penduduk Melayu, 30 peratus penduduk Cina dan hampir 20 peratus penduduk India.

"Ia merupakan mikrokosma kehidupan masyarakat Malaysia dan saya mahu memastikan bahawa saya memperolehi majoriti undi daripada penduduk Melayu, majoriti undi daripada penduduk India dan majoriti undi daripada penduduk Cina."

Meskipun beliau akur bahawa ini merupakan sesuatu yang amat sukar dan tempoh kempen juga mencabar, Encik Anwar menambah bahawa beliau yakin beliau akan menang dan menyertai parlimen negara itu.

"Apabila saya jadi Perdana Menteri kelak, saya akan pastikan bahawa Singapura adalah negara pertama yang akan saya lawati," tambah beliau sambil menerima tepukan daripada para hadirin.  

- CNA/AI/ai

Top