Images
  • fb
    (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

Tidak boleh gantung pada Facebook tapis kepalsuan: Kementerian Undang-Undang

SINGAPURA: Facebook enggan memadamkan satu kiriman oleh States Times Review ke wadah media sosial itu yang mengaitkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan siasatan 1MDB, menurut Kementerian Undang-Undang pada Jumaat malam (9 Nov).

Pendirian mereka menunjukkan bahawa wadah media sosial itu "tidak boleh diharapkan untuk menapis kepalsuan atau melindungi Singapura daripada kempen maklumat palsu," menurut kementerian itu lagi.

"Facebook enggan memadamkan satu kiriman yang jelas palsu, bersifat fitnah dan menyerang Singapura menggunakan kepalsuan.

"Ini menunjukkan mengapa undang-undang diperlukan untuk melindungi Singapura daripada kepalsuan online yang disengajakan," menurut kenyataan media kementerian tersebut.

Kementerian itu juga menyatakan banyak penerbitan Malaysia yang melaporkan rencana itu sudah memadamkannya setelah Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia mengeluarkan penjelasan bahawa ia "palsu dan berunsur fitnah".

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyifatkan rencana itu sebagai tidak "berasas sama sekali".

Kementerian Undang-Undang menambah bahawa Sarawak Report dan penyuntingnya Clare Rewcastle Brown juga mengeluarkan dua kenyataan yang menjelaskan bahawa dakwaan States Times Review bahawa Singapura merupakan sasaran penyiasatan 1MDB seterusnya adalah palsu.

"Namun Facebook tetap tidak berasa ini alasan yang cukup untuk memadamkan catatan itu. Facebook tidak boleh diharapkan untuk menapis kepalsuan atau melindungi Singapura daripada kempen maklumat palsu," menurut kementerian itu.

Awal dari itu pada Jumaat, Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) mengarahkan laman berkenaan supaya memadamkan rencana tersebut sebelum pukul 5.00 petang semalam, namun ia enggan melakukan demikian.

IMDA kemudian mengarahkan Penyedia Khidmat Internet (ISP) untuk menyekat akses ke laman itu. Ia tidak lagi dapat diakses dari sekitar 9.00 malam.

Pengasas States Times Review, Alex Tan tidak lama selepas itu mengumumkan bahawa beliau berhasrat "menutup (laman) itu".

- CNA/TQ/tq

Top