Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada sosok ayah, tidak cemerlang dalam PSLE tapi kini graduan cemerlang NTU

Tiga siswazah Melayu/Islam antara lulusan cemerlang Universiti Teknologi Nanyang(NTU) tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga siswazah Melayu/Islam antara lulusan cemerlang Universiti Teknologi Nanyang(NTU) tahun ini.

BERITAMediacorp bertemu dengan tiga graduan ini.

PEGANG TEGUH PADA KATA-KATA ARWAH AYAH 'ILMU ITU KUASA'

Nur Atiqah Zahari, 23 tahun, masih ingat dengan jelas lagi kata-kata ayahnya yang meninggal dunia ketika beliau baru memasuki sekolah menengah.

"Ayah saya selalu berkata ‘ilmu itu kuasa’. Saya berpegang teguh pada katanya itu dan ia mendorong saya untuk berjaya," kata Nur Atiqah.

Beliau bakal menerima Ijazah Kepujian Kelas Pertama Sarjana Muda Sains dalam jurusan Sains Biologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Nur Atiqah adalah antara kohort perintis bagi jurusan Sains Biologi. Beliau turut mendalami jurusan psikologi dan bakal menerima Sains Muda Kedua dalam Psikologi.

“Walaupun bapa saya sudah tiada, saya masih ingin buat dia bangga. Apabila saya mencapai sesuatu, saya bukan sahaja mahukan orang ingat pada saya, tetapi ingat ayah saya juga,” katanya lagi.

BERKONGSI PROJEK TAHUN AKHIR BERSAMA PENYELIDIK LAIN DI ITALI

Apabila ditanya apa yang mendorong beliau untuk mendalami dua bidang itu, Nur Atiqah memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau sempat berinteraksi dengan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembangunan ketika menjalani kerja sukarelawan di sebuah hospital.

Baru-baru ini, Nur Atiqah menyampaikan projek tahun akhirnya di Itali dan berpeluang bertemu dengan penyelidik lain dari seluruh dunia.

Nur Atiqah akan melanjutkan pelajarannya di peringkat Doktor Falsasah (PHD) di NTU di bawah Biasiswa Graduan Presiden Nanyang yang berprestij.

PEMENANG PINGAT EMAS LEE KUAN YEW INGIN BANTU IBU

Muhammad Shafiq Mohd Yusof juga kehilangan ayahnya, yang merupakan satu-satunya penyara hidup keluarganya, ketika berumur sembilan tahun.

Ibu beliau, yang dahulunya seorang suri rumah terpaksa keluar bekerja untuk menyara hidup keluarganya.

"Kejadian itu mendorong saya untuk membantu ibu dan belajar dengan lebih gigih untuk bantu ibu dan adik," jelasmya.

Usahanya membuahkan hasil kerana beliau meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kimia dan Kimia Biologi dari Sekolah Sains Fizikal dan Matematik, NTU.

Bukan itu sahaja, beliau juga pemenang Pingat Emas Lee Kuan Yew yang diberikan kepada mahasiswa paling cemerlang bagi setiap program sarjana muda.

Muhammad Shafiq juga meluangkan masa untuk memberi kelas tuisyen kepada pelajar menengah satu dan dua yang kurang bernasib baik.

"Saya memang suka mengajar budak-budak, berkongsi ilmu dengan mereka. Semasa di Kelab Khidmat Kebajikan ini, ada portfolio Friends of Children, yang memberi tuisyen percuma," tambah beliau.

Muhammad Shafiq akan mengikuti pengajian PhD dalam bidang Kimia, juga di NTU.

TIDAK PERNAH BERMIMPI UNTUK KE OXFORD

Ttidak terlintas di fikiran Mohammad Syafiq Mohammad Suhaini untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford di Britain, setelah gagal subjek Matematik dan mendapat agregat 198 dalam peperiksaan PSLE.

Siapa juga sangka pelajar yang dulunya kurang cemerlang dipilih menjadi valediktorian atau penyampai ucapan kohortnya dan seorang pemegang biasiswa Kajian Presiden NTU. Antara pencapaian lain beliau termasuk menjadi pemenang serantau dalam Sains Sosial (kategori Dasar Sosial), Anugerah Sarjana Muda 2016 dan berjaya menempatkan nama di senarai dekan pada 2015/16.

Mohammad Syafiq turut menjalankan kajian mengenai pendidikan Islam di Singapura untuk projek Pengalaman Penyelidikan Siswazah di Kampus (URECA). Program tersebut dikhususkan untuk pelajar cemerlang sahaja.

Apabila diminta kongsi tips beliau berjaya, Mohammad Syafiq menekankan pentingnya membaca untuk meluaskan lagi ilmu pengetahuan.

“Kita tidak boleh menghadkan membaca itu kepada buku sahaja. Dalam masa dan zaman kini ada juga wadah-wadah lain untuk membaca, seperti melalui internet dan telefon bimbit,” kata Mohammad Syafiq.

Beliau juga banyak menimba pengalaman menerusi peranannya sebagai mentor dalam program penempatan graduan.

"Kami dapat memperoleh bagaimana cara mereka menghadapi cabaran hidup," jelasnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan