Images
  • warehouse hotel
    Gambar Hotel Warehouse. (Gambar-gambar: Shophouse & Co.)

'The City Ramble' jelajah kisah-kisah menarik di sebalik reka bentuk tempat di S'pura

SINGAPURA: Pernahkah terlintas dalam fikiran anda apa mungkin kisah di sebalik reka bentuk tempat-tempat di merata kota Singapura?

Dalam jejak rekaan 'The City Ramble', orang ramai berpeluang melawat enam lokasi yang biasanya jarang dapat dikunjungi umum untuk mengenali cerita warisan rekaannya.

Acara kemuncak edisi kelima Minggu Rekaan Singapura (SDW) itu membawa pengunjung, buat pertama kalinya, ke luar pusat bandar untuk menikmati rekaan menerusi bengkel, demonstrasi serta seni pemasangan.

ROBERTSON QUAY SARANG KONGSI GELAP?

Tahukah anda, kawasan Robertson Quay di mana berdirinya Hotel The Warehouse ini dahulu merupakan sarang persatuan kongsi gelap dan kilang minuman keras?

Tetapi sejarah itu lenyap ditelan masa dan apa yang tinggal kini adalah bangunan-bangunan serba moden, namun, kaya dengan budaya dan warisan tempatan.

Kisah sejarah dan bagaimana ia mempengaruhi rekaan sesebuah tempat sekarang menjadi sorotan dalam jejak rekaan 'The City Ramble'.

Anjuran studio pereka tempat Shophouse & Co, jejak ini mengajak peserta melawat enam tempat berbeza di serata Singapura untuk mengetahui sendiri cerita, warisan dan proses menghasilkan sesuatu rekaan.

Selain Hotel The Warehouse, ia juga termasuk Funan Showsuite, Citizen Farm dan ruang perindustrian The Mill.


BUKU PANDUAN 'THE CITY RAMBLE STORIES'

"Kota Singapura kita sangat kreatif jika kita mengambil masa untuk menghargai apa yang kita dikelilingi. Kami membawa masyarakat umum ke tempat-tempat yang selalunya tidak boleh dikunjungi atau dilawat oleh masyarakat.

"Kami menganjurkan program-program berkaitan dengan rekaan di mana mereka boleh berbual dengan para pereka, bukan sahaja menghargai pameran statik tetapi berkenalan dengan lebih rapat lagi apa maksud di sebalik rekaan sesuatu objek," kata Adib Jalal, kurator dan penganjur The City Ramble Design Trails.

Projek ini juga tertumpu kepada memberi peluang bagi pereka muda yang berusia di bawah 35 tahun untuk menonjolkan bakat mereka.

Sebagai langkah menyokong karya kreatif golongan itu, sebuah buku panduan bertajuk 'The City Ramble Stories' diterbitkan di mana ia memaparkan cerita sumber inspirasi rekaan setiap daripada mereka.

Walaupun jejak rekaan ini sudahpun berakhir hujung minggu lalu, orang ramai masih boleh meneroka tempat-tempat unik di serata Singapura seperti yang disenaraikan di dalam buku ini.

Anda juga boleh melayari laman web www.designsingapore.org/sdw untuk mengikuti pelbagai siri program sempena Minggu Rekaan Singapura (SDW) yang akan berlangsung sehingga 18 Mac ini. 

- BERITAMediacorp/fa

Top