Images
  • tharman file
    Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam. (Gambar fail: TODAY)

Tharman: Perlu usahakan pembangunan demi jadikan pasaran berdaya tahan

BALI: Pasaran-pasaran kewangan Asia dalam keadaan lebih baik sekarang selepas berdepan krisis kewangan 20 tahun lalu.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam semasa berucap di Bali bagi membincangkan saranan-saranan Kumpulan Tokoh-Tokoh Ternama mengenai Tadbir Urus Kewangan Global G20.

Namun katanya, masih ada ruang untuk meneruskan pembangunan bagi memastikan pasaran-pasaran itu menjadi lebih berdaya tahan.

Beliau menambah, pasaran-pasaran Asia memerlukan lebih banyak kecairan dan peluang-peluang lindungi nilai untuk menjadi lebih berdaya tahan.

"Di samping itu, belanjawan di Asia (harus) diuruskan dengan lebih baik dan dalam keadaan lebih baik berbanding keadaannya dahulu. Indonesia adalah satu contoh," kata Encik Tharman.

Negara-negara membangun juga perlu melabur untuk pertumbuhan. "Ia mengambil masa yang panjang untuk membangunkan simpanan bagi menyaingi pelaburan. Ini bermakna negara-negara tersebut perlu menghadapi defisit akaun semasa," tegasnya.

Defisit akaun semasa berlaku apabila sebuah negara membangun tidak mempunyai modal mencukupi untuk melabur dalam pembangunan. Ini bermakna negara yang terjejas perlu bergantung kepada pelaburan asing.

Encik Tharman menarik perhatian Singapura dan Korea Selatan mencatat defisit akaun semasa yang melebihi 5 peratus hasil dalam negeri kasar (GDP) sehingga pertengahan tahun-tahun 90-an, sesuatu yang disifatkan pakar-pakar ekonomi sebagai sesuatu yang baik. 

- CNA/MM/aq

Top