Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terkandas di Bali kerana letusan Gunung Berapi Agung? Ini 4 cara untuk pulang ke S'pura

Gunung Berapi Agung di Bali meletus sekali lagi dengan mengeluarkan asap tebal. Ia sekaligus melumpuhkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan menyebabkan penerbangan keluar masuk pulau peranginan itu dibatalkan serta ribuan pelancong terkandas.

Anggaran Waktu Membaca:
Terkandas di Bali kerana letusan Gunung Berapi Agung? Ini 4 cara untuk pulang ke S'pura

Gunung Agung meletus di Amed, Karangasem, Bali, Indonesia pada 26 Nov 2017. (Gambar: REUTERS/Jose Colreavy)

Diterbitkan : 28 Nov 2017 12:18PM Dikemas Kini : 28 Nov 2017 12:21PM

SINGAPURA: Gunung Berapi Agung di Bali meletus sekali lagi dengan mengeluarkan asap tebal. Ia sekaligus melumpuhkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dan menyebabkan penerbangan keluar masuk pulau peranginan itu dibatalkan serta ribuan pelancong terkandas.

Indonesia hari ini (28 Nov) melanjutkan penutupan lapangan terbang untuk tempoh 24 jam sehingga esok (29 Nov) selepas pihak berkuasa penerbangan tempatan menunjukkan laluan penerbangan pesawat tertutup oleh debu gunung berapi.

Jika anda mempunyai keluarga tersayang ataupun sahabat handai yang terkandas di lapangan terbang di Denpasar atau anda sendiri sedang menunggu penerbangan seterusnya, ada beberapa cara alternatif untuk pulang ke tanah air.

Namun, anda perlu ke Lombok atau tanah besar Jawa untuk berbuat demikian.

1) NAIK PESAWAT DARI LOMBOK

Pihak berkuasa Indonesia sudah membuka semula Lapangan Terbang Lombok selepas tiada abu gunung berapi dikesan.

Dari Kuta di Bali, anda harus menaiki bas atau teksi ke pelabuhan Padang Bai, di mana feri awam berlepas ke Lembar di Lombok. Perjalanan ini memakan masa selama empat hingga lima jam dan kosnya sekitar S$4.

Kemudian, anda perlu naik teksi ke Lapangan Terbang Lombok yang mengambil masa perjalanan sekitar 40 minit. Syarikat penerbangan seperti SilkAir dan Garuda menyediakan khidamt penerbangan ke Singapura. Beberapa lagi syarikat penerbangan membuat persinggahan di Jakarta sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.

2) TERBANG DARI LOMBOK (BOT LAJU)

Mereka yang merasakan feri awam memakan masa terlalu panjang boleh memilih untuk menaiki bot laju. Bot-bot ini mengambil masa sekitar dua jam untuk sampai di Lombok dari Padang Bai.

Harga bagi perjalanan sehala melebihi S$50, dengan beberapa syarikat menawarkan pakej yang termasuk pengangkutan ulang alik dari pelabuhan.

Kemudian anda boleh meneruskan perjalanan ke lapangan terbang.

3) TERBANG DARI PULAU JAWA

Jika anda mempunyai masa yang lebih, ini satu lagi pilihan yang boleh dipertimbangkan (dan jika Lombok turut terjejas dengan letusan gunung berapi).

Dari Bali, anda boleh menaiki bas langsung ke bandar-bandar utama menerusi feri, termasuk ke Yogyakarta dan Jakarta. Ada banyak khidmat penerbangan ke Singapura dari bandar-bandar tersebut.

Menurut travelfish.org, perjalanan koc mengambil masa 17 jam dari terminal bas Ubing di Denpasar ke Yogyakarta di Pulau Jawa dan harga tiket sekitar S$25. Harga tambang selalunya termasuk kos feri.

4) TERBANG DARI PULAU JAWA (DIY)

Bagi pelancong yang berani pula, anda boleh melakukan perjalanan ke pelabuhan Gilimanuk di barat pulau Bali, sebelum membayar sekitar S$0.80 untuk menaiki feri selama setengah jam ke Ketapang di Pulau Jawa.

Dekat dengan pelabuhan di Ketapang itu, ada stesen bas dan kereta api yang menyediakan khidmat ke bandar-bandar utama sepeti Yogyakarta, Jakarta dan Surabaya, semuanya mempunyai pilihan khidmat penerbangan ke Singapura.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan