Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terima pujian polis: Sukarno Arsad jadi 'wira' kawal trafik akibat lampu isyarat rosak

Seperti biasa pada sekitar 6 petang, Encik Sukarno Arsad tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas sehari suntuk bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seperti biasa pada sekitar 6 petang, Encik Sukarno Arsad tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas sehari suntuk bekerja.

Namun, pada Khamis lalu (11 Okt), beliau yang bekerja sebagai penolong gudang lewat pulang sekitar 30 minit daripada biasa.

Ini kerana Encik Sukarno memberanikan diri mengawal trafik akibat lampu isyarat yang rosak di persimpangan Paya Lebar Road dan Macpherson Road, meski tiada pengalaman sebelum ini.

Sambil mengimbas kembali insiden itu, Encik Sukarno berkongsi: "Tak payah fikir banyak, ambil peluang ini, letakkan motosikal di tepi, terus pergi ke tengah-tengah dan kawal trafik."

(Gambar: Facebook/LiTing TaRa)

BEREDAR TETAPI MEMBUAT PUSINGAN U SEMULA

Bapa dua anak itu hanya beredar selepas lampu isyarat kembali beroperasi, namun membuat pusingan U selepas lampu isyarat kembali rosak.

Akhirnya beliau membantu mengawal trafik selama sekitar setengah jam sehingga polis trafik tiba.

"Ada yang cakap bahaya, ada yang cakap ‘abang, ini bahaya’, ada yang angkat tangan seperti ‘bagus, terima kasih’, banyak yang angkat tangan, lambai pun ada, terima kasih ada, tanda jempol ada," ujar Encik Sukarno.

(Gambar: Ira Musfirah)

KISAH SUKARNO ARSAD RAIH LEBIH 5,800 'LIKES' DI FACEBOOK

Meskipun tindakannya itu mendapat reaksi bercampur-campur daripada pemandu, kisah beliau ternyata tular secara positif sehingga meraih lebih 5,800 'likes' di laman Facebook.

Malah komander Polis Trafik, Penolong Kanan Pesuruhjaya Gerald Lim, turut memuji Encik Sukarno kerana mempamerkan sikap tidak mementingkan diri sendiri serta tetap menjaga keselamatan dengan memakai topi keledar.

Komander Lim juga menegaskan inisiatifnya itu wajar dicontohi masyarakat kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.

DIBERI ANUGERAH SEMANGAT KEMASYARAKATAN AWAM

Encik Sukarno Arsad bersama komander Polis Trafik, Penolong Kanan Pesuruhjaya Gerald Lim. (Gambar: Ira Musfirah)

Lantaran itu, Encik Sukarno yang menerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam itu juga berharap masyarakat setempat dapat terus saling bantu-membantu.

"Kalau sesiapa berdepan dengan masalah sebegini, tolonglah bantu, berhenti dan gunakan inisiatif untuk bantu rakyat Singapura," katanya.

Awal minggu ini, pekerja khidmat pengiriman Encik Yusman Yusoff diberi penghargaan kerana membantu menangkap suspek kes merakam video bawah skirt.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan