Teres HDB dekat Whampoa dijual pada harga rekod hampir S$1.2 juta
Sebuah unit rumah teres Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga hampir S$1.2 juta dalam suku ketiga tahun ini, mengatasi harga rekod bagi unit HDB termahal dijual sebelum ini.
SINGAPURA: Sebuah unit rumah teres Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga hampir S$1.2 juta dalam suku ketiga tahun ini, mengatasi harga rekod bagi unit HDB termahal dijual sebelum ini. Demikian menurut laporan trend hartanah yang diterbitkan oleh syarikat OrangeTee pada Rabu (21 Nov).
Teres HDB seluas 237 meter persegi itu terletak di Jalan Bahagia dekat Whampoa, dan dijual pada harga S$1.185 juta September lalu.
Harga tersebut tinggi sedikit berbanding harga rekod S$1.18 juta yang dicatatkan sebuah flat 5-bilik Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) di Bishan yang bertukar tangan Februari 2017.
Sebuah unit flat DBSS 5-bilik di Lorong 1A Toa Payoh, mencecah S$1.16 juta, menjadikannya flat jualan semula HDB ketiga termahal yang dijual.
Sebanyak 52 flat HDB dengan harga sehingga sejuta dolar atau lebih dijual dalam sembilan bulan pertama tahun ini. Menurut laporan itu kebanyakkan flat tersebut yakni sebanyak 40 unit berusia kurang 20 tahun.
URUS NIAGA FLAT JUALAN SEMULA MENINGKAT
Laporan syarikat hartanah OrangeTee itu turut menyatakan bahawa urus niaga jualan semula meningkat di sebalik harga hartanah HDB yang merosot.
Menurut data HDB, sebanyak 17,462permohonan bagi flat jualan semula diterima dalam sembilan bulan pertama tahun ini, satu rekod tinggi yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun.
Dalam tempoh yang sama, jumlah flat jualan semula yang bertukar tangan pada harga sekurang-kurangnya S$700,000 mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam tahun, sebanyak 1,438 urus niaga.
Harga merosot sedikit sebanyak 0.1 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.