Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teknologi pengganti tiket untuk kurang upaya diuji cuba di stesen MRT

Satu teknologi sedang diuji cuba bagi memudahkan lagi golongan kurang upaya keluar masuk di stesen-stesen kereta api.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2018 08:47PM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 08:52PM

SINGAPURA: Satu teknologi sedang diuji cuba bagi memudahkan lagi golongan kurang upaya keluar masuk di stesen-stesen kereta api.

Teknologi tiket baru itu membolehkan para penumpang masuk atau keluar gantri tanpa perlu mengimbas kad tambang EZ-Link.

Para penumpang hanya perlu membawa sejenis Kad Ujian Alat Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) atau telefon bijak yang mempunyai Bluetooth serta aplikasi tertentu untuk membuka gantri itu dengan sendiri.

Perkembangan itu dialu-alukan Encik Rohaizad Roslan - seorang daripada 50 penumpang yang menyertai uji cubanya selama enam bulan.

Beliau menggunakan alat bantu pergerakan sejak empat tahun lalu namun pergerakannya di stesen-stesen MRT tidak selancar yang diharapkan.

"Antara masalah-masalah yang saya hadapi ketika menggunakan kad lama, ada kalanya saya terlanggar gantri, berbahaya jugalah kalau ada kemalangan. Tetapi kad baru ini, saya boleh jalan terus lalu gantri, tak perlu imbas kad," kata beliau.

Teknologi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menjadikan sistem kereta api tempatan lebih inklusif.

"Kita lihat sistem pengangkutan awam kita sebagai satu pengupaya penting bagi semua orang yang mempunyai masalah pergerakan. Sama ada anda orang kurang upaya, seorang ibu yang membawa kereta sorong bayi atau seorang warga tua yang sukar untuk berjalan, kita inginkan sistem pengangkutan awam yang boleh digunakan semua. Menjadikan sistem pengangkutan kita inklusif adalah amat penting," kata Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Dr Janil Puthucheary.

Beliau turut menambah bahawa hasil uji cuba itu akan dapat membantu pihak berkuasa untuk memperhalusi lagi sistem tersebut.

Mengenai sama ada teknologi itu akan ditawarkan kepada semua rakyat tempatan, pihak berkuasa berkata kos serta sejauh mana ia dapat dilaksanakan perlu dinilai dahulu.

Uji cuba itu akan dijalankan di empat stesen MRT dan akan berakhir pada November ini.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pula menyatakan bahawa uji cuba teknologi itu juga akan diluaskan kepada bas-bas pada lewat tahun ini.  

Sumber : CNA/AA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan