Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tauke' muda beragama Katolik ini berpuasa sebulan bersama pekerja asing Muslim

Ini tahun kedua Encik Nicholas Tai berpuasa bersama-sama para pekerja Muslimnya pada bulan Ramadan. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Tauke' muda beragama Katolik ini berpuasa sebulan bersama pekerja asing Muslim

Nicholas Tai dan Shaokot Hossen, pekerja Bangladesh yang membimbingnya berpuasa pada bulan Ramadan. (Gambar: Ray Yeh)

Diterbitkan : 16 Jun 2018 05:22PM Dikemas Kini : 21 Mar 2023 09:54PM

SINGAPURA: Selama sebulan yang lalu, Encik Nicholas Tai Wei Ming akan bangun pada 4.30 pagi untuk bersahur sebelum menahan diri dari lapar dan dahaga dari fajar hingga senja, seperti yang diamalkan umat Islam sedunia sepanjang Ramadan.

Namun pemuda berusia 28 tahun ini yang keluarganya memiliki sebuah syarikat binaan kecil sebenarnya seorang penganut agama Katolik.

Malah ini tahun kedua Encik Tai berpuasa bersama-sama para pekerja Muslimnya pada bulan Ramadan.

"Ini adalah yang paling sedikit saya boleh lakukan untuk lebih memahami mereka," kongsi Encik Tai, yang mula libatkan diri dalam perniagaan keluarganya pada 2015 sebagai pengurus projek.

Selain pekerja Muslim dari Bangladesh, beliau juga berasa senang bekerja di samping pekerjanya dari India, Myanmar dan Thailand. Mengenali orang daripada pelbagai budaya, menurut Encik Tai memenuhi sifat "ingin tahunya".

"Saya anggapnya suatu rahmat," kata beliau.

DARI BANK KE KERJA BINAAN

Encik Tai, yang mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan dan kewangan dari Universiti Teknologi Nanyang akur bahwa beliau tidak punyai kemahiran dalam kerja sebagai seorang kontraktor.

Maka itu, beliau berpendapat bahawa cara terbaik untuk menimba pengalaman adalah dengan bekerja dan hidup bersama para pekerjanya.

(Gambar: Nicholas Tai)

Kesemua 25 pekerja dari Bangladesh, India, Myanmar dan Thailand yang sudah bertahun-tahun bekerja dengan keluarga Tai, tinggal di rumah-rumah yang disewa syarikat tersebut untuk mereka.

MENJADI RAKAN SERUMAH PEKERJA

Selama setahun, Encik Tai menjadi bukan sekadar 'tauke' muda mereka, tetapi juga rakan serumah.

Selain belajar frasa mudah dalam bahasa ibunda para pekerjanya, Encik Tai meluangkan masa besama merka selepas bekerja, seperti bermain bola sepak dan mengadakan barbeku di Taman East Coast.

"Saya hanya inginkan mereka berasa selesa. Jika mereka gembira bekerja dengan kami, saya pun gembira," kata beliau.

Persahabatan antara Encik Tai dan para pekerjanya sungguh akrab - beliau sudah menghadiri tiga perkahwinan mereka di kampung halaman masing-masing sejak 2015.

Namun, tegas Encik Tai, beliau memastikan "perasaan peribadi" tidak menjadi penghalang dalam "menyempurnakan tugas".

PENGALAMAN MEMUPUK EMPATI

Tahun lalu, Encik Tai membuat keputusan untuk berpuasa buat pertama kali.

"Dalam bidang kerja ini, kerjanya amat berat, namun mereka bertekad berpuasa sepanjang bulan," kata beliau.

"Saya ingin tahu begaimana rasanya."

Seorang pekerja, Encik Shaoket Hossen, menjadi pembimbingnya.

"Saya berkata selain berpuasa, sebulan tidak boleh minum arak, merokok atau buat perkara buruk - minda mesti bersih," kata warga Bangladesh itu.

Setelah pengalaman beliau tahun lalu, Encik Tai tahun ini membuat penyesuaian pada aturan kerja.

(Gambar: Nicholas Tai)

"Saya cuba pastikan pekerja Bangladesh melakukan kerja kurang berat, agar mereka dapat meneympurnakan tanggungjawab agama dan puasa mereka," kata Encik Tai.

Encik Tai juga tidak ketinggalan meluangkan masa bersama para pekerja India sewaktu acara seperti Deepavali.

"Mereka amat menghargai apabila warga tempatan menunjuk minat dan ingin mendampingi mereka."

Beliau menyifatkan peluang untuk mendekati para pekerjanya sebagai "satu rahmat".

"Saya dapat mengalami perkara yang jarang dialami warga Singapura lain. Contohnya, anda boleh ke India, tapi dapatkah anda ke kampung-kampung, bertemu ahli keluarga, kenali mengapa mereka bekerja di sini dan siapa yang mereka tanggung di kampung?"

Tambah beliau: ""Ia sangat bermanfaat kerana saya secara tidak langsung membantu orang yang mereka bantu. Seperti apa kata Shaokot - kami saling bantu-membantu."
 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan