Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman Bay East dipilih untuk tempatkan tapak Peringatan Pengasas

Kawasan berukuran lima hektar di Taman Timur Persisiran (Bay East Garden) akan dijadikan tapak Peringatan Pengasas. Pembangunan bagi kawasan tapak untuk memperingati nilai-nilai generasi pemimpin pengasas Singapura itu sudah memasuki fasa seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman Bay East dipilih untuk tempatkan tapak Peringatan Pengasas

Taman Timur Persisiran (Gambar: Elizabeth Neo/Mediacorp)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 01:55PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 05:27PM

SINGAPURA: Kawasan berukuran lima hektar di Taman Timur Persisiran (Bay East Garden) akan dijadikan tapak Peringatan Pengasas.

Pembangunan bagi kawasan tapak untuk memperingati nilai-nilai generasi pemimpin pengasas Singapura itu sudah memasuki fasa seterusnya.

Tapak peringatan itu termasuk sebuah taman dengan galeri pameran dibina di dalamnya, menurut jawatankuasa yang ditugaskan mengemukakan konsep memorial itu dalam satu kenyataan media pada Jumaat (19 Okt).

Fasa pembangunan seterusnya yang mengambil masa dua tahun, memberi tumpuan kepada reka bentuk dan kandungan memorial tersebut. Ia menyusuli tempoh pengumpulan pandangan daripada lebih 32,000 orang selama dua tahun, dengan hasilnya dibentangkan jawatankuasa berkenaan tahun lalu.

Tapak peringatan tersebut akan memberi tumpuan kepada kisah-kisah dan peristiwa dalam sejarah pembangunan Singapura. Jawatankuasa itu turut menambah, tapak itu bertujuan membawa para pengunjung menyusuri perjalanan yang "memberi inspirasi, mendidik dan menjadi renungan" bagi semua.

"Ia bertujuan untuk merakam konteks pencapaian penting dalam sejarah pembangunan Singapura, pengalaman dan dilema yang dihadapi para pemimpin kita yang membentuk nilai-nilai dan prinsip mereka, serta bagaimana ia menjejas tindakan, pemikiran di sebalik dasar dan keputusan mereka," menurut jawatankuasa tersebut.

"Tapak di Taman Bay East mencerminkan perjalanan Singapura sebagai sebuah negara, menerusi elemen seperti pemandangan panorama dengan pemandangan bandar yang berubah-ubah, yang mengesahkan perancangan bandar Singapura."

Hakikat bahawa tapak itu ditempatkan di sebuah kawasan tanah tambak berdekatan Kolam Air Marina, satu peringatan bagaimana Singapura mengatasi masalah kekurangan air dan tanah. Taman itu juga dikaitkan dengan pembangunan Singapura sebagai sebuah Bandar Taman.

Jawatankuasa tapak peringatan juga menyatakan ia sedang dalam perbincangan dengan badan-badan utama seperti Lembaga Warisan Negara (NHB), Taman di Persisiran dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Program-program pendidikan juga sedang dilakarkan dan tapak peringatan itu dijangka menempatkan galeri-galeri tetap dan sementara, galeri pandangan serta pusat pengunjung.

Satu pertandingan reka bentuk akan dianjurkan Januari depan untuk memulakan beberapa lagi fasa projek tersebut.

ANGGOTA BARU JAWATANKUASA

Jawatankuasa Tapak Peringatan Pengasas seramai 15 orang akan terus menerajui usaha pembangunan, dengan diketuai oleh pengerusi Lee Tzu Yang.

Sembilan anggota akan terus berkhidmat sehingga 31 Oktober 2020, manakala lima anggota lain akan digantikan.

Lima anggota baru jawatankuasa adalah:
- Encik Jeff Cheong, presiden Tribal Worldwide (Asia)
- Cik Sharany Hassan, pengasas dan pengarah Legal Matters
- Professor Tan Tai Yong, profesor di Maktab Yale-NUS
- Encik Wong Siew Hoong, ketua pengarah pendidikan di Kementerian Pendidikan
- Cik Yeoh Chee Yan, pengerusi NHB

Mereka menggantikan Cik Par Bee Gek, Encik Ong Keau, Cik Haslinda Zamani, Cik Lina Chong dan Encik Zahidi Abdul Rahman. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan