Images
  • TAA Main
    (Gambar-gambar: TAA)

TAA sasar bantu lebih ramai keluarga memerlukan

SINGAPURA: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Meskipun diri sendiri menghidap penyakit kronik, kencing manis, Cik Zanizah Aziz tetap perlu menjaga dua anak istimewanya - seorang 20 tahun dan seorang lagi 18 tahun.

Anak sulung beliau, Muhammad Saifullah, mengalami masalah daya intelek rendah manakala anak kedua Cik Zanizah, Muhammad Syafiq, menjadi kurang upaya selepas diserang sawan atau epilepsi sejak usianya empat tahun.

Di samping itu, beliau juga membantu menjaga ibunya, 87 tahun, yang mengalami demensia. Pastinya, semua ujian itu bukan mudah diharungi. Namun Cik Zanizah tidak berputus asa.


Cik Zanizah Aziz bersama salah seorang anaknya. 

Setelah bertahun-tahun lamanya menjalani kehidupan seharian dalam keadaan sedemikian, dua tahun lalu, beliau mula mendapatkan bantuan daripada Dana Amanah TAA. Ini sedikit sebanyak membawa sedikit keceriaan selain meringankan beban yang perlu ditanggungnya.

Memandangkan beliau tidak lagi dapat keluar bekerja, Cik Zanizah memanfaatkan wang yang diterima daripada Dana Amanah TAA, untuk dijadikan modal perniagaan kecil-kecilan dari rumah bagi menampung kos rawatan anak-anak serta keperluan harian mereka sekeluarga.

Ternyata, bantuan dana TAA itu amat membantu keluarga-keluarga memerlukan seperti keluarga Cik Zanizah.

“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan bersyukur ada orang di luar sana yang ingin membantu. Saya doakan semoga keluarga yang menderma itu diberkati Allah dan dipanjangkan umur dan jangan berhenti untuk menderma,” kata Cik Zanizah.

Namun hakikatnya, bukan Cik Zanizah dan anak-anaknya sahaja yang bergantung harap kepada TAA untuk mendapatkan bantuan. Tahun ini TAA sudah membantu 2,800 orang, berbanding hanya 2,627 penerima pada tahun lalu.


Yang pasti, ini tidak dapat dilakukan tanpa sifat dermawan dan sokongan berterusan daripada masyarakat setempat.

Sekalipun demikian, jumlah permohonan bagi mendapatkan bantuan TAA semakin hari semakin meningkat. Sejauh ini, jumlahnya menjangkaui lebih 3,000 orang.

Untuk membolehkan TAA membantu lebih ramai penerima daripada golongan fakir dan miskin, yang antaranya termasuk para pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti ginjal, penyakit jantung, barah dan kencing manis, lebih banyak sumbangan derma diperlukan daripada anda.


Ini kerana TAA amat bergantung kepada dana yang dikumpulkan daripada para penderma untuk meneruskan usaha murni itu. TAA ibarat penggerak derma anda. Anda menderma, TAA mengagihkannya kepada seberapa ramai orang-orang memerlukan.

Maka TAA merayu kepada anggota masyarakat supaya terus menghulurkan derma seikhlasnya, agar Dana Amanah TAA mampu untuk meningkatkan bantuan kewangan yang diagihkan kepada yang memerlukan.

"Buat masa ini Alhamdulillah sokongan masyarakat membenarkan kita untuk memberi kepada sesiapa sahaja yang lulus (kriteria). Tapi kalau sokongan masyarakat itu berkurangan, ini akan menjadi masalah. Ini kerana kami mempunyai sumber-sumber yang terhad. TAA tidak menerima sebarang geran daripada mana-mana agensi. Hanya dari masyarakat,” kata Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid.

KEMPEN AMAL ‘SINARAN’: 3 BULAN USAHA KUMPUL DANA, PERTINGKAT KESEDARAN

Buat pertama kalinya tahun ini juga, TAA menganjurkan kempen amal Sinaran selama tiga bulan - dari 22 Oktober sehingga 30 Disember. Pelbagai program diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang TAA serta menyeru kepada mereka supaya sama-sama membantu keluarga-keluarga kurang bernasib baik.

Ini termasuk melalui radio WARNA 942FM, media sosial Facebook dan Instagram, jerayawara atau ‘roadshow’ dan konsert tahunan Sinaran Hati.


“Tahun ini kami mengorak langkah meneroka inisiatif baru menggunakan media digital untuk meneruskan usaha mendampingi masyarakat dan menggalak mereka untuk menderma.

“Dengan menyuntik kesegaran pada platform-platform media sosial kami di FB dan IG serta wadah digital yang disokong oleh Mediacorp, kami berharap untuk memperluas skop bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bagaimana sumbangan derma mereka sudah mewujudkan sedikit keceriaan dalam kehidupan para penerima bantuan,” kata Encik Muhd Harmizan.

Konsert Sinaran Hati akan disiarkan secara langsung di saluran Suria pada 23 November, pukul 8.30 malam. Ia akan menampilkan barisan personaliti popular tempatan seperti Khairudin Saharom, Khairudin Samsudin, Farisha Ishak, Hyrul Anuar, Syed Azmir, Khairil Yusof, Rahila dan Nobat Kota Singa. Penyanyi legenda dari Malaysia, Aishah, akan turut menyerikan acara.

Anda boleh menghulurkan derma menerusi beberapa cara.

Online, dengan menggunakan kad kredit atau debit di laman giving.sg/taa-trust-fund atau cek kepada “TAA Trust Fund" dan dihantar ke alamat:

Tabung Amal Aidilfitri Trust Fund
845 Geylang Road #04-16
Tanjong Katong Complex
Singapura 400845

Anda juga menghulurkan derma melalui talian telepol:

1900-112-9050 untuk menderma $50

1900-112-9010 untuk menderma $10

- BERITAmediacorp/nk

Top