Images
  • som said ramadan
    Cik Som Said (kanan) berpendapat ciri kemelayuan tetap ada walaupun busana wanita tetap bertukar-tukar. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Suntikan moden, pembaharuan pada baju kurung wanita: Apakah ciri Melayunya sudah hilang?

BERITAMediacorp: Musim Lebaran merupakan musim di mana baju kurung perempuan atau busana wanita Melayu menyaksikan pelbagai suntikan moden, pembaharuan dan kesegaran.

Namun, masihkah baju kurung Melayu menerapkan ciri-ciri tradisionalnya?

Atau mungkinkah sudah seperti makanan, ia sudah menjadi hipster/fusion, hinggakan hilang sentuhan keMelayuannya?

BERITAMediacorp bertemu bersama budayawan dan tokoh seni Som Said untuk mendapatkan ulasan beliau.


(Bahagian leher dengan jahitan tulang belut ini boleh dikatakan jarang dapat dijumpai hari ini)

BUSANA WANITA BERTUKAR IKUT PENGARUH LUAR

Baju Melayu yang menggunakan kain rubiah sering diperagakan oleh kaum wanita pada lewat era 1950-an menjelangnya Lebaran.

Ciri yang membuatkannya 'eksklusif Melayu' ialah bahagian leher baju kurung ini dan seluruh bahagian badannya yang memaparkan jahitan tulang belut yang dijahit tangan.

Namun pada era 1970-an dan 1980-an - dek peredaran zaman yang diselangi dengan pengaruh agama dan budaya asing - busana wanita untuk Hari Raya turut menyaksikan perubahan dari segi bentuk, warna dan coraknya.

Namun, melihat kepada kepada pakaian yang dengan kerap bertukar ini, satu persoalan sering diajukan. Iaitu, sejauh manakah ciri-ciri kemelayuan pada baju kurung wanita kita sudah semakin hilang dihakis arus pemodenan?


(Pakaian wanita khas untuk Hari Raya. Gambar: Petikan skrin Fashion Valet) 

BAJU WANITA MODEN MASIH ADA ESTETIK MELAYUNYA?

Budayawan tempatan, Cik Som Said berpendapat walaupun adanya pelbagai baju Melayu dengan suntikan baru, kebanyakan daripadanya tetap mengekalkan ciri-ciri kemelayuannya.

Sebagai contoh ada baju kebaya yang sudah diubah menampilkan ciri-ciri moden, namun tetap mengekalkan estetika tradisionalnya dengan menggunakan songket.

"Kebaya ini kebaya tradisional, bentuknya kolarnya ada lapik dia, tetapi apa yang buat dia beza dia macam baby doll style, bawahnya kembang, longgar, kalau kitakan kebaya semua 'tapered' semua 'fitting', mak-mak kita dulu-dulu pakai selagi belum ketat itu bukan kebaya lah namanya.

"Tapi sekarang tidak. Kainnya yang menarik sangat, kainnya kita tidak pernah pakai dengan kebaya, selalunya mesti 'tapered' batik atau songket," kongsi Cik Som bersama BERITAMediacorp.

Apa yang jelas, busana wanita yang diperagakan sewaktu bulan Syawal menjalani pelbagai perubahan mengikut konteks dan zaman yang berbeza, dan menurut Cik Som, busana wanita ini masih menjaga kesantunan Melayu.

"Ada yang rasa 'saya tak nak memakai yang itu' tetapi membuat gaya sendiri dengan berdasarkan 'oh, sekurang-kurangnya lehernya, lehernya baju kurung ataupun 'oh kebayanya ada sentuhan baju Melayu, tetapi ditukarkan sedikit," tambah Cik Som lagi. 

- BERITAMediacorp/ur

Top