Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SME harus ganding bahu harungi gangguan digital, kata Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggesa syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) supaya mempertingkatkan kerjasama di tengah-tengah gangguan digital dan dalam usaha untuk menebarkan sayap ke luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Aug 2018 04:39PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 09:08PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggesa syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) supaya mempertingkatkan kerjasama di tengah-tengah gangguan digital dan dalam usaha untuk menebarkan sayap ke luar negara.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar di acara yang dianjurkan untuk syarikat-syarikat SME oleh Dewan Perdagangan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) pada Rabu (15 Ogos).

"Dengan saling berganding bahu, ia tidak bermakna kita tidak bersaing antara satu sama lain. Terdapat banyak bidang yang kita hadapi masalah serupa dan kita harus bekerjasama bagi mencari huraian," kata Encik Heng.

"Sehubungan itu, Pemerintah berbesar hati dapat bekerjasama dengan anda untuk menghuraikan masalah-masalah ini."

Menurut Encik Heng, syarikat-syarikat perusahaan Singapura perlu memupuk semangat kerjasama dalam kalangan tiga kumpulan penting, iaitu universiti, industri dan Pemerintah untuk menubuhkan "Segi Tiga Inovasi".

Atas dasar tersebut, beliau menegaskan: "Teknologi yang kita miliki harus digunakan oleh syarikat-syarikat kita."

Sebagai contoh, inisiatif Naik Taraf Berdasarkan Kumpulan (GBU) oleh Enterprise Singapore yang dilancarkan pada tahun lalu.

Inisiatif tersebut menggalak syarikat-syarikat SME memanfaatkan huraian-huraian berdasarkan kumpulan semasa menangani cabaran-cabaran perniagaan.

Menurut tinjauan perniagaan 2018 yang dijalankan oleh SCCCI, 67 peratus syarikat SME sudah memanfaatkan skim-skim bantuan pemerintah.

Apabila ditanya bagaimana SCCCI akan memainkan peranan dalam menggalak syarikat-syarikat supaya berganding bahu, Presiden SCCCI Roland Ng menyebut tentang pelan pendigitalan pertubuhan itu yang bermatlamat untuk membantu syarikat-syarikat "mengongsi maklumat mengenai masalah-masalah bersama" semasa mendigitalkan perniagaan masing-masing.

Dalam tinjauan yang sama, syarikat-syarikat SME turut mendedahkan bahawa cabaran-cabaran utama yang dihadapi mereka adalah kos perniagaan yang kian meningkat, kekurangan tenaga manusia dan persaingan sengit dalam pasaran tempatan.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan