Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim simpanan bulanan untuk 120,000 amah Indonesia di S'pura dilancarkan

Apa yang anda perlu tahu jika anda mempunyai pembantu rumah Indonesia...

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Satu skim baru untuk lebih 120,000 pembantu rumah Indonesia di Singapura akan dilancarkan esok (9 Dis), di mana mereka digalak untuk menabung antara S$10 dengan S$60 setiap bulan, sebaik sahaja mereka mula bekerja di Singapura.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan BERITAMediacorp, Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Ngurah Swajaya berkata skim itu bertujuan menjadi satu lagi jaringan keselamatan kewangan untuk para pembantu rumah Indonesia.

Skim itu akan memastikan para pembantu rumah Indonesia akan mempunyai tabungan setelah mereka tidak lagi bekerja di negara ini.

Dipanggil Skim Jaminan Hari Tua (JHT), Singapura merupakan negara pertama, di mana skim baru itu akan dilaksanakan.

APA YANG PERLU MAJIKAN LAKUKAN?

Apakah para majikan pembantu rumah di Singapura perlu menyumbang kepada skim tersebut?

Pihak Kedutaan Indonesia menjawab bahawa "majikan tidak perlu membuat bayaran bagi skim ini".

Ditanya lagi, apakah para majikan mungkin perlu membuat 'caruman' bagi pihak amah pada masa depan?

Kedutaan tersebut memberitahu BERITAMediacorp bahawa majikan tidak perlu berbuat demikian kerana ia skim sukarela untuk para pembantu rumah Indonesia di sini. Namun ia menyambut baik jika para majikan mahu membuat sumbangan untuk pembantu rumah masing-masing dalam skim itu.

Skim Jaminan Hari Tua itu akan dikendalikan oleh badan dipanggil Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS). Esok BPJS akan menandatangani Memorandum Persefahaman kerjasama dengan Kedutaan Besar Indonesia di Singapura bagi melaksanakan JHT.

Duta Besar Indonesia ke Singapura, Ngurah Swajaya. 

Duta Besar Indonesia ke Singapura, Ngurah Swajaya. 

TIDAK WAJIB TAPI DIGALAKKAN

Apakah manfaat skim itu kepada para pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka?

Menerusi skim Jaminan Hari Tua (JHT) itu perlindungan buat para pembantu rumah Indonesia akan menjangkaui tempoh mereka bekerja di Singapura.

Buat masa ini, JHT tidak diwajibkan.

Meskipun tidak diwajibkan, para pembantu rumah digalakkan untuk mendaftarkan diri sebaik sahaja mereka mula bekerja di Singapura.

Setelah itu, mereka perlu membayar premium antara Rp105,000 dengan Rp 600,000 sebulan kepada Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) Ketenagakerjaan Indonesia. Ini bermakna antara S$10 dengan S$60.

Sejauh ini, setiap pembantu rumah yang bekerja di Singapura dilindungi di bawah skim insurans perubatan dan kemalangan peribadi yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura.

Kos insurans tersebut wajib dibiayai oleh majikan.

BOLEH BISNES, JALANKAN PERTANIAN

JHT merupakan skim perlindungan tambahan daripada pemerintah Indonesia untuk rakyatnya yang bekerja di luar negara.

Encik Ngurah Swajaya, menyifatkan JHT sebagai "nilai tambah".

"Kita juga bekerjasama dengan BPJS Ketenagakerjaan untuk memberikan khidmat sehingga mereka (pembantu rumah) nanti sudah selesai bekerja, mereka juga akan memperoleh perlindungan di hari tua mereka.

"Jadi itu juga salah satu nilai tambah dari perlindungan yang diberikan BPJS," Encik Ngurah memberitahu BERITAMediacorp.

Wang yang dikumpulkan menerusi skim itu akan dapat dimanfaatkan untuk meneruskan kehidupan setelah mereka kembali ke Indonesia.

"Bagi pembantu rumah bahawa ketika mereka selesai (kontrak) bekerja (di Singapura), mereka akan memiliki sejumlah wang yang mereka boleh pergunakan sebagai modal dalam kehidupan mereka selanjutnya.

"Kalau mereka sudah tidak boleh bekerja, mereka boleh menggunakan ini untuk bisnes atau agrikultur di Indonesia," ujar Encik Ngurah.

Ada juga beberapa manfaat lain bagi para pembantu rumah jika mereka menyertai skim itu. Ini termasuklah mendapat kelebihan dari segi potongan harga bagi bayaran pendahuluan untuk membeli rumah, bayaran bulanan rumah dan boleh memohon pinjaman renovasi rumah.

MAJIKAN JUGA RAIH MANFAAT

Encik Ngurah Swajaya membayangkan bahawa dengan skim tabungan itu para pembantu rumah mungkin tidak lagi perlu tertanya-tanya apakah nasib mereka setelah tidak lagi bekerja di Singapura.

"Ini juga salah satu manfaat yang bisa dirasakan oleh majikan kerana si tenaga kerja memperoleh jaminan hari tua sehingga dia bisa menumpukan perhatian, bekerja lebih baik, bekerja lebih rajin," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Sekalipun demikian, para majikan yang ingin menyumbang untuk pembantu rumah mereka, akan disambut baik, menurut Atase Tenaga Kerja Indonesia, Encik Agus Ramdhany Machjumi.

"Kerana pembantu rumahnya bekerja lebih giat pasti adalah dari majikan yang (berkata) ‘yuk saya tambahlah (sumbangan wang)’. Saya yakin seperti itu," kata Encik Agus, yang juga merupakan Atase Tenaga kerja yang pertama di Singapura.

Atase Tenaga Kerja pertama Indonesia di Singapura, Agus Ramdhany Machjumi.

Atase Tenaga Kerja pertama Indonesia di Singapura, Agus Ramdhany Machjumi.

Skim JHT adalah sebahagian daripada sebuah program dipanggil Program Perlindungan Pekerja Migran.

Di bawah program itu, terdapat tiga inisiatif. Selain Skim Jaminan Hari Tua, dua lagi inisiatif lain ialah skim berbentuk insurans kemalangan, iaitu Jaminan Kecelakaan Kerja (JKK) dan skim insurans kematian, atau Jaminan Kematian (JKM).

JKK dan JKM adalah skim wajib ke atas semua rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara. Mereka perlu membayar premium sebanyak Rp 370,000 (S$37) bagi setiap kontrak kerja dua tahun, sebelum memulakan kerja di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan