Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skim penilaian baru NEA disambut baik pelanggan, peniaga

Dengan pengumuman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang akan melaksanakan Skim Penilaian Kebersihan Makanan baru bagi restoran dan tempat makan dalam masa dua tahun akan datang, para pelanggan dan peniaga yang kami temui berpendapat ia adalah satu langkah yang baik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dengan pengumuman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang akan melaksanakan Skim Penilaian Kebersihan Makanan baru bagi restoran dan tempat makan dalam masa dua tahun akan datang, para pelanggan dan peniaga yang kami temui berpendapat ia adalah satu langkah yang baik.

Menurut mereka langkah tersebut akan menggalakkan pengendali untuk mengamalkan kebersihan yang baik, pada setiap masa, dan secara konsisten.

EMAS, PERAK, GANGSA JELANG 2020

Di bawah skim yang dilaksanakan pada 1997, NEA memberi gred A, B, C atau D kepada kedai makan berdasarkan penilaian kebersihan di tempat-tempat itu setiap tahun.

Namun, pada hujung 2020, gred-gred ini akan ditukar berdasarkan skim 'anugerah'.

Tempat makan yang tidak mempunyai rekod kesalahan kebersihan yang serius selama dua tahun atau lebih, akan mendapat anugerah gangsa.

Mereka yang mempunyai rekod bersih lima tahun akan diberikan anugerah perak, manakala 10 tahun atau lebih akan meraih emas.

Pelaksanaan lebih ketat ini dijalankan kerana sistem gred sekarang didapati "kurang berkesan".

Pengiktirafan berdasarkan prestasi jangka panjang juga bagi memastikan para peniaga mengamalkan tahap kebersihan lebih baik.

Tinjauan kami ke tempat makan di Haig Road mendapati rata-rata para pelanggan mengalu-alukan langkah tersebut.

Ini kata mereka:

"Bagus perubahan ini, jadi kita pun tak was-was. Jadi, kita pun boleh tahulah ini kedai bersih, untuk mendapatkan emas, gangsa, itu mungkin terpulang masing-masinglah," kata Encik Mat Haris Munasa.

"Kita pelanggan, kita hendak layanan, mutu makanan. Kalau mutu makanan tak ada, maknanya tak ada lagi lah," kongsi Encik Jamaludin Ismail.

"Kalau mereka nak majukan perniagaan, mesti mereka boleh berubah. Boleh baiki diri," ujar Cik Katijah Muhammad.

LANGKAH LEBIH KETAT BUATKAN PENIAGA LEBIH BERHATI-HATI

Di pihak peniaga makanan pula, isu kebersihan sememangnya amanah cukup berat yang tidak dipandang remeh.

"Pada saya, ini akan membuat kita lagi berhati-hati, kita tak akan lalai dari segi menjaga mutu kebersihan kedai kita. Jadi, pada saya ada baiknya. Oleh itu, semua tak ambil remeh bila kita nak jaga mutu kebersihan kedai kita, kerana ini tanggungjawab yang berat, kita tak boleh pandang remeh.

"Sebab kalau keracunan makanan nanti kita yang akan dipertanggungjawabkan. Jadi, amanah tu beratlah, pada saya lah. Jadi, pada saya, tak jadi masalah kerana kita buat sebaik yang mungkin," kongsi Encik Muhammad Fahmi Ahmad Fodali kepada pihak kami.

AGAK SUKAR KEKALKAN PENGIKTIRAFAN EMAS

Walaupun begitu, Encik Fahmi berpendapat bahawa jangka masa 10 tahun yang ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan emas, merupakan sesuatu yang agak sukar untuk dicapai.

"Pada saya jangka terlampau lamalah. Boleh dipendekkan, jangka lima tahun, lima tahun dah kira Alhamdulillah kerana kita dah cuba yang terbaik. Jadi, untuk motivasi kepada pegerai itu," tambah Encik Fahmi lagi.

Yang pasti para peniaga menggalas tanggungjawab yang cukup besar bagi memastikan kebersihan makanan yang dijual. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan