Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skandal daging Brazil: Daging tercemar tidak dieksport ke S'pura, jelas duta

Skandal daging di Brazil di mana dua syarikat sedang disiasat berhubung dakwaan daging tercemar adalah satu "masalah tempatan" dan tidak menjejas eksport ke Singapura, menurut duta Brazil ke Singapura Flavio Damico pada Isnin (20 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Skandal daging Brazil: Daging tercemar tidak dieksport ke S'pura, jelas duta

Seorang kakitangan memotong daging di pasar raya di Sao Paulo, Brazil. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Mar 2017 03:20PM Dikemas Kini : 20 Mar 2017 03:23PM

SINGAPURA: Skandal daging di Brazil di mana dua syarikat sedang disiasat berhubung dakwaan daging tercemar adalah satu "masalah tempatan" dan tidak menjejas eksport ke Singapura, menurut duta Brazil ke Singapura Flavio Damico pada Isnin (20 Mac).

Menerusi satu wawancara telefon dengan Mediacorp, Encik Damico berkata: "Brazil adalah negara yang besar dan dalam beribu-ribu unit pengeluaran daging, hanya tiga kilang yang ditutup. Dengan maklumat yang saya ada sekarang, ketiga-tiga kilang itu tidak mengeksport daging ke Singapura."

Komen beliau dibuat selepas siasatan polis Brazil menunjukkan bahawa pengeluar daging utama menyogok para pegawai kesihatan untuk mengesahkan makanan yang tercemar sesuai dimakan.

Sekurang-kurangnya 30 orang sudah diberkas dalam siasatan tersebut. Sebuah kilang memprose ayam itik yang dikendalikan oleh syarikat berbilang negara BRF dan dua kilang pemprosesan daging yang dikelolakan oleh syarikat JBS juga sudah ditutup oleh pihak berkuasa Brazil.

Brazil adalah negara pengeksport daging dan ayam itik terbesar di dunia. Ia mengeksport produk-produk daging kepada lebih 150 negara, dan pasaran utamanya termasuk Singapura, China dan Jepun.

Pemerintahnya sudah bertindak untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai bahawa produk-produk dagingnya adalah selamat untuk dimakan.

NTUC FAIRPRICE DAPATKAN PENGESAHAN PEMBEKAL

Rangkaian pasar raya NTUC Fairprice menyatakan bahawa ia sedang mendapatkan penjelasan daripada para pembekal ayam itik sementara menantikan hasil siasatan dari pihak berkuasa Brazil.

Dalam kenyataan emel pada Isnin, seorang jurucakapnya berkata: "NTUC Fairprice sedar bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap JBS dan BRF di Brazil, yang membekalkan produk-produk Frangosul dan Sadia kepada cawangan-cawangan kami serta pelbagai peruncit di Singapura.

"Sebagai peruncit yang bertanggungjawab, kami memandang serius isu mutu dan keselamatan makanan."

Pengendali muatan Lapangan Terbang Changi SATS, yang mengendalikan khidmat bagasi dan penumpang, seperti menyediakan makanan dalam pesawat, turut menyatakan bahawa ia sedang meneliti isu tersebut.

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura serta rangkaian pasar raya yang lain bagi mendapatkan komen.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan