Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura hasrat percepat proses pengesahan EUSFTA

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing dijangka cuba percepatkan proses mengesahkan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Singapura (EUSFTA) di Brussels dan Paris pada Rabu (11 Jul) dan Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura hasrat percepat proses pengesahan EUSFTA

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing di acara tahunan jamuan tengah hari EuroCham. (Gambar: Tang See Kit)

Diterbitkan : 11 Jul 2018 01:56PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 02:00PM

BRUSSELS: Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing dijangka akan berusaha mempercepatkan proses mengesahkan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Singapura (EUSFTA) di Brussels dan Paris pada Rabu (11 Jul) dan Khamis.

Perjanjian itu diharap dikuatkuasakan menjelang tahun depan sebelum mandat Suruhanjaya Eropah berakhir. Ia juga berlatarkan konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, yang Encik Chan sifatkan di Parlimen pada Isnin sebagai satu pertikaian yang mungkin memberi "kesan besar" terhadap dasar terbuka ekonomi Singapura.

Encik Chan berkata, rangkaian perdagangan Singapura yang kukuh adalah penting kerana ia akan membantu syarikat-syarikat untuk mendapatkan bekalan alternatif dan pasaran baru.

EUSFTA adalah satu bentuk rangkaian perdagangan sedemikian dan apabila disahkan, akan menjadi perjanjian pertama antara EU dengan sebuah negara ASEAN.

Perjanjian itu akan memberi manfaat yang signifikan kepada perniagaan dan pengguna, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Selain menghapuskan cukai ke atas barangan dan e-dagang, ia juga akan meluaskan peluang syarikat-syarikat mendapatkan projek pemerintah.

Singapura adalah rakan komersil terbesar EU di ASEAN, membentuk hampir sepertiga perdagangan barangan dan perkhidmatan dan sekitar dua pertiga pelaburan antara kedua-dua rantau tersebut.

Sementara itu, EU adalah pelabur terbesar Singapura dan rakan perdagangan ketiga terbesar - dengan perdagangan dua hala meningkat sehingga 5.6 peratus kepada S$98.4 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, menurut MTI.

Di Paris, Encik Chan akan mengesahkan hubungan ekonomi dua hala antara Singapura dan Perancis dan mendapatkan sokongan berterusan Perancis bagi EUSFTA, menerusi mesyuarat dengan para pemimpin Perancis, menurut MTI lagi.
 

Sumber : CNA/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan