Images
  • Bangladesh PM SG
    Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina semasa Forum Perniagaan Singapura-Bangladesh. (Gambar: Dewi Fabbri).

Singapura, Bangladesh meterai 4 MOU bagi pertingkat hubungan ekonomi

SINGAPURA: Singapura dan Bangladesh memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) di Forum Perniagaan Bangladesh-Singapura, yang diadakan buat julung-julung kalinya pada Selasa (13 Mar).

Di bawah MoU pertama, International Enterprise (IE) Singapore dan Penguasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh akan bekerjasama bagi memudahkan syarikat-syarikat Singapura, termasuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) menembusi pasaran Bangladesh.

MoU kedua pula akan menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama bagi membangunkan dan membina program keupayaan bagi para pegawai perkhidmatan awam, bagi menyokong Program Wawasan Digital Bangladesh 2021.

Perjanjian itu turut bermatlamat untuk meningkatkan dan mengekalkan ekosistem syarikat pemula di Bangladesh.

Perjanjian ketiga adalah antara Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) dengan Persekutuan Industri Dewan Perniagaan dan Perusahaan Bangladesh (FBCCI).

Perjanjian itu bermatlamat untuk membuka pintu kepada syarikat-syarikat Singapura untuk menembusi pasaran Bangladesh, dengan menyediakan sumber perniagaan di negara itu serta peluang untuk bekerjasama dengan para anggota FBCCI.

MoU keempat pula akan mengembangkan lagi perjanjian yang dimeterai antara SMF dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Metropolitan, Dhaka (MCCI) pada 1997.

Di bawah perjanjian itu, MCCI akan membantu menghubungkan syarikat-syarikat Singapura dengan para pengilang dan syarikat-syarikat di Dhaka.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, yang dalam rangka lawatan rasminya yang pertama ke Singapura, turut menyaksikan pemeteraian kesemua MoU tersebut dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Lim Hng Kiang.

Encik Lim berkata ekonomi Bangladesh yang berkembang antara enam hingga tujuh peratus sejak sedekad lalu serta kekal "kukuh dan berdaya bingkas meskipun berdepan dengan sekitaran luaran yang mencabar" menawarkan pelbagai peluang bagi syarikat-syarikat Singapura.

Beliau berkata Bangladesh secara aktif memikat pelaburan asing ke negara itu dan ini dirangsang oleh "minat yang semakin dilahirkan oleh kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan" memberi peluang kepada syarikat-syarikat Singapura yang mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam bidang prasarana, tetapi juga dalam huraian bandar dan logistik - iaitu bidang-bidang yang ingin dikembangkan oleh Bangladesh.

Encik Lim menambah bahawa syarikat-syarikat Bangladesh juga harus memanfaatkan Singapura sebagai "pangkalan untuk mendalami pengetahuan dan menebarkan sayap ke pasaran Asia Tenggara." 

- CNA/AI/fa

Top