Images
  • amp youth
    Para peserta Jendela Pekerjaan edisi 2016 anjuran sayap belia Angkatan Karyawan Muslim (AMP) Muda. (Gambar: Facebook/ Young Association of Muslim Professionals)

Simposium pekerjaan AMP Muda harap perkasa anak muda dengan keyakinan diri dalam capai aspirasi

SINGAPURA: Landskap pekerjaan berubah-ubah yang disebabkan pengaruh globalisasi, kemajuan teknologi dan perubahan demografiks menyebabkan semakin besarnya tekanan yang dirasakan.

Bagi membantu golongan muda Melayu/Islam menangani cabaran itu, sayap belia Angkatan Karyawan Islam, AMP Muda, menganjurkan sebuah simposium esok (14 Sep).

Matlamat simposium itu adalah untuk membimbing para belia memasuki alam pekerjaan dengan lebih yakin diri dan menjadi lebih berjaya pada masa hadapan.

ANAK MUDA KURANG YAKIN ADA PELUANG DI S'PURA

Satu tinjauan belia nasional yang dijalankan pada 2016 mendapati bahawa golongan muda tempatan memberikan markah 3.37 mata daripada lima markah penuh bagi menyokong kenyataan bahawa mereka tidak yakin adanya cukup peluang di Singapura untuk mencapai aspirasi mereka.

Berbanding tinjauan yang sama pada 2013, respons mereka menggambarkan golongan belia seakan membayangkan masa depan yang agak malap.

Tanggapan negatif mereka itu menjadi keprihatinan cabang belia Angkatan Karyawan Islam, AMP Muda.

Mungkinkah ini sebab lebih ramai golongan belia antara 15-19 tahun berhenti sekolah dan terus terjun ke alam pekerjaan? Ini memandangkan tinjauan yang sama mendapati jumlah mereka dalam lingkungan usia begitu yang mula bekerja naik 2%.

"Saya rasa sebagai seorang anak muda yang baru keluar dari pangkuan sekolah, mereka sebenarnya tidak tahu di mana agaknya mereka harus pergi untuk mendapatkan tunjuk ajar untuk mereka melakarkan pelan kerjaya mereka," kata Penolong Pengurus AMP Muda Encik Mohd Alfian Mohd Ismail.

JENDELA PEKERJAAN HARAP DAPAT PERKASA ANAK MUDA JADI LEBIH YAKIN

Lantaran itu, Simposium Jendela Pekerjaan AMP Muda hujung minggu ini diharap dapat memperkasakan golongan muda dengan bukan hanya pengetahuan asas tetapi juga keyakinan untuk mengorak langkah pertama untuk meneroka potensi kerjaya masing-masing.

Ini akan dilakukan menerusi sesi-sesi perbincangan bersama beberapa karyawan dalam bidang kerjaya masing-masing, ceramah serta pameran kerjaya.

Acara itu susulan kepada bengkel-bengkel pekerjaan yang dikendalikan AMP sejak tujuh tahun lalu.

"Kami harap anak muda menjadikan dalam kehidupan mereka sebagai satu agenda untuk mereka melakarkan pelan kerjaya mereka dan dengan peluang-peluang sebegini, mereka dapat satu gambaran yang lebih jelas
tentang apa peluang-peluang yang terdapat di landskap ekonomi di negara kita.

"Pada usia muda inilah, masanya untuk mereka mencari jawapan-jawapan dan butiran-butiran, maklumat-maklumat yang relevan," nasihat Encik Alfian.

Simposium Jendela Pekerjaan AMP Muda diadakan di ITE Kolej Barat dan dijangka dihadiri sekitar 100 orang. 

- BERITAmediacorp/ru

Top