Images
  • asean 33
    Gambar fail bendera ASEAN dan bendera negara-negara anggota ASEAN. (Gambar: Remeo Gacad/AFP)

Sidang Puncak ASEAN: Pemimpin serantau adakan perbincangan bermula esok

SINGAPURA: Para pemimpin serantau dijangka tiba di Singapura untuk pelbagai perbincangan mulai esok (11 Nov) sempena Sidang Puncak ASEAN ke-33.

Singapura menyifatkannya sebagai 'peristiwa penting' selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Dengan 20 pemimpin negara bakal hadir di sini, tahap keselamatan akan diperketatkan. Antara agenda utama yang akan dibincangkan termasuk isu memerangi pengganasan di rantau ini.

Pada bulan lalu, ASEAN dan rakan-rakan dialog seperti China, Amerika Syarikat dan Jepun bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam usaha memerangi pengganasan serantau.

Menurut para pemerhati, pengganasan adalah ancaman utama terhadap keamanan di Asia Tenggara. Yang menjadi keprihatinan genting adalah anggota militan ISIS yang direkrut dari rantau ini, dan mereka yang kini kembali dari Iraq dan Syria. Jumlahnya dianggarkan mencecah lebih ribuan orang.

Selain itu, para pemimpin juga berharap untuk membincangkan mengenai Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau, yang berpotensi meliberalisasikan perdagangan untuk 16 negara, yang membentuk 45 peratus penduduk dunia.

ASEAN dijangka menerima rangka kerja bandar bijak yang menetapkan takrifan mengenai bandar bijak, serta rancangan yang jelas untuk masa depan. Perbincangan juga akan meliputi pencapaian ASEAN buat tahun ini.  

- CNA/NU/ai

Top