Images
  • rlaf 1
    Kanak-kanak sibuk mempersiapkan barang-barang yang akan diagihkan. 

Siapa kata kanak-kanak dari keluarga pincang tidak mampu menyumbang? Ini buktinya...

SINGAPURA: Sifat memberi bukanlah bagi mereka yang berkemampuan sahaja - mereka yang kurang sempurna juga boleh menyumbang.

Itulah mesej utama yang ingin dibawa pulang kanak-kanak yang terlibat dalam projek 'Ramadan for Life'.

Ia merupakan projek kerjasama pertama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan pertubuhan bukan mencari untung, LIFE SG, yang bertujuan menggalak kanak-kanak - yang datang dari keluarga kurang sempurna - menyebarkan rahmah kepada masyarakat kurang bernasib baik.

Seramai 18 kanak-kanak menyertai projek itu pada Sabtu lalu (9 Jun).

PENUH SEMANGAT, TAWA DAN RIA

Jika anda bersama mereka, ia kelihatan seperti satu lawatan pembelajaran tetapi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun itu sebenarnya baru sahaja pulang daripada membeli-belah di pasar raya NTUC.

Biarpun perlu memerah keringat seawal jam 10.00 pagi, mereka tetap bertenaga demi tujuan murni projek 'Ramadan For Life'. Antaranya termasuk Syarah Aqilah Surianto yang memberitahu BERITAMediacorp bahawa dia gembira kerana dapat merasakan bibit-bibit kemanisan menolong mereka yang memerlukan.

Seorang lagi peserta, Ali Ridha Rahim pula seronok dapat membeli-belah bukan untuk dirinya sendiri, tetapi bagi para penerima.


Salah seorang peserta projek ini, Ali. 

"Ini peluang saya untuk membantu menyiapkan barang-barang yang saya beli di NTUC untuk memberikan kepada orang-orang di flat itu," kata Ali.

Dengan ditemani seramai 40 sukarelawan yang lain, rombongan ini berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengagih-agihkan habuan kepada 180 keluarga di estet Lorong Lew Lien.

LATAR BELAKANG BUKAN HAMBATAN

Semua kanak-kanak ini adalah peserta program LIFE SG dan mereka antara lain berasal dari keluarga ibu bapa tunggal atau keluarga bermasalah.

Biarpun demikian, keadaan itu tidak menjadi suatu halangan bagi mereka menghidupkan semangat memberi.

Inilah yang turut diharapkan melalui projek ini - menanam sikap yakin diri lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak berkenaan serta menerapkan kepada mereka bahawa setiap individu dapat berperanan untuk menyumbang kepada masyarakat tidak kira belakang mereka.

"Projek ini amat bermakna untuk kanak-kanak ini kerana ia memberikan mereka harapan dan membuka persepsi baru bahawa mereka juga dapat memberi dan membantu keluarga-keluarga selain daripada menerima bantuan," kata Pengurus Kanan Pembangunan Keupayaan RLAF, Izhar Roslan.

Awal daripada itu, kanak-kanak itu juga melawat rumah warga tua Society For The Aged Sick untuk meluangkan masa bersama warga emas di sana menerusi pelbagai kegiatan bermakna. 

- BERITAMediacorp/aq

Top