Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA ubah laluan beberapa penerbangannya bagi elak ujian peluru berpandu Korea Utara

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) mengubah laluan penerbangan bagi penerbangan antara Seoul dengan Los Angeles sejak Julai tahun ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas Korea Utara melancarkan ujian-ujian peluru berpandu.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA ubah laluan beberapa penerbangannya bagi elak ujian peluru berpandu Korea Utara

SIA mengubah laluan penerbangannya selepas ujian peluru berpandu Korea Utara dilancarkan Julai lalu. (Gambar: Fabrice Coffrini/ AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2017 08:24AM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 08:29AM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) mengubah laluan penerbangan bagi penerbangan antara Seoul dengan Los Angeles sejak Julai tahun ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas Korea Utara melancarkan ujian-ujian peluru berpandu.

Langkah itu susulan ujian peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara menghala ke Laut Jepun pada 27 Julai, demikian menurut SIA semalam (5 Dis).

Ujian peluru berpandu Korea Utara, selalunya dilakukan tanpa memberi pemberitahuan terdahulu seperti yang ditetapkan di bawah perjanjian antarabangsa, mencetus kebimbangan dalam kalangan syarikat penerbangan komersil.

Pada bulan Oktober, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengutuk Korea Utara kerana melancarkan perluru berpandu untuk beberapa kali, dan menyatakan bahawa tindakan mereka mengancam keselamatan penerbangan awam antarabangsa.

Korea Utara, yang menyertai ICAO pada 1977, dikehendaki memberi notis terdahulu tentang sebarang kegiatan yang mungkin mengancam keselamatan pesawat awam.

Menurut laporan, negara itu semakin mempergiatkan program peluru berpandunya tahun ini, dengan 23 peluru berpandu dilancarkan dalam 16 ujian berasingan sejak Februari.

Ujian terkininya adalah pada 29 November, di mana Peluru Berpandu Balistik Rentas Benua (ICBM) terbang sejauh 1,000 kilometer sebelum jatuh dalam Zon Eksklusif Jepun.

Kakitangan dari sekurang-kurangnya tiga penerbangan Korean Air dan Cathay Pacific dilaporkan ternampak sesuatu yang dipercayai peluru berpandu Korea Utara.

Jurucakap bagi Cathay Pacific mengatakan bahawa mereka "menyaksikan peluru berpandu DPRK meletup di udara dan berkecai dekat dengan lokasi mereka ketika itu".

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang langkah-langkah yang diambil, SIA menyatakan bahawa pesawat-pesawatnya tidak terjejas kerana sudah bertindak sejak Julai untuk mengubah laluan penerbangannya.

"SIA sedar akan laporan-laporan berkaitan peluru berpandu Korea Utara dan sedang memantau keadaan," kata seorang jurucakap SIA.

"Buat masa ini, pesawat-pesawat kami tidak melintasi laluan kawasan ujian peluru berpandu dan kami telah menjalankan langkah-langkah awal untuk mengelak bahagian utara Laut Jepun.

"Keselamatan para penumpang dan anak kapal adalah keutamaan kami dan kami akan mengubah laluan penerbangan jika diperlukan," tambah beliau. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan