Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA siasat dakwaan kakitangan bertindak kasar kepada penumpang

Syarikat penerbangan SIA menyatakan ia sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan bahawa kru kabinnya bertindak kasar terhadap para penumpang dalam satu penerbangan ke India yang tergendala.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA siasat dakwaan kakitangan bertindak kasar kepada penumpang

(Gambar: FACEBOOK / Chandni Doulatramani)

Diterbitkan : 14 Jun 2018 06:05PM Dikemas Kini : 14 Jun 2018 06:14PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada Khamis (14 Jun) menyatakan ia sedang menjalankan siasatan ke atas dakwaan bahawa kru kabinnya bertindak kasar terhadap para penumpang dalam satu penerbangan ke India yang tergendala.

Penerbangan SQ516 itu tergendala selama hampir tiga jam Jumaat lalu disebabkan "isu-isu teknikal di darat", menurut seorang jurucakap SIA sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Pengguna Facebook Chandni Doulatramani, yang merupakan seorang penumpang dalam penerbangan dari Singapura ke Kolkata itu, mendakwa bahawa kru kabin SIA menjawab dengan kurang sopan apabila ditanya para penumpang tentang kelengahan tersebut.

"Apabila kami mendatangi kru kabin, mereka tidak mempunyai jawapan, secara kasar menyuruh kami diam, (dan) mengugut untuk menelefon polis dan memberkas kami," menurut catatan beliau pada Selasa.

Menurut catatan itu lagi, para penumpang disuruh menaiki pesawat hanya 20 minit selepas ia dijadualkan untuk berlepas.

Apabila penumpang menaiki pesawat, mereka diberitahu bahawa alat penghawa dingin tidak berfungsi.

"Setengah jam berlalu tanpa sebarang aliran udara dalam pesawat yang sesak dengan penumpang," dakwa beliau, sambil menambah bahawa para penumpang termasuk seorang wanita hamil dan warga emas.

Beliau juga mendakwa bahawa dua wanita "muntah-muntah teruk di belakang pesawat".

Cik Doulatramani juga mendakwa pihak SIA tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan ketidakselesaan penumpang.

"Mereka enggan beri kami air sejuk dan minuman hingga lewat kemudian apabila kami berkumpul dekat bilik makanan meminta air gas untuk rasa lebih selesa."

Menurut beliau lagi, para penumpang "dilayan seperti banduan, disuruh duduk di tempat masing-masing dan memasang tali pinggang keledar".

"Mereka memberitahu kami jika kita turun dari pesawat, kita tidak akan dibenarkan naik semula dan akan diletakkan dalam penerbangan lain dua hari kemudian, dan tidak akan diberi pampasan," tulis beliau.

Catatan berkenaan disertakan video tiga minit yang menunjuk para penumpang berdiri dan membuat aduan kepada seorang lelaki berpakaian seragam.

"Kami memohon maaf atas kesukaran yang dihadapi penumpang dalam pesawat," menurut SIA.

"Berhubung catatan online berkenaan, kami menganggapnya dakwaan yang serius dan akan menyiasat dengan teliti." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan